Najib Razak

KUALA LUMPUR – Ekonomi negara dalam keadaan yang menyedihkan dalam tempoh setahun pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan, menurut Datuk Seri Najib Razak.

Bekas perdana menteri itu berkata, sepanjang tempoh tersebut mata wang ringgit terus jatuh.

“Harga sawit turun lagi dan indeks bursa turun 11 mata lagi pagi ini.

“Jumlah pelaburan asing dalam bon Malaysia pada akhir bulan April telah jatuh ke paras paling rendah sejak 8 tahun.

“Bulan lepas sahaja, pelaburan asing sebanyak RM11.2 bilion telah mengalir keluar,” katanya.

Menurut beliau lagi, walaupun banyak aset-aset negara telah dijual dan rizab Petronas diberikan kepada kerajaan tetapi hutang negara terus meningkat dengan kadar jauh lebih cepat.

Jangkaan syarikat penarafan kredit antrabangsa Moody’s, nisbah hutang negara kepada KDNK akan meningkat kepada 56.0% tahun ini berbanding 50.7% pada akhir 2017 di bawah kerajaan Barisan Nasional.

“Ini adalah kenaikan yang amat mengejutkan dan amat pantas! Semasa saya PM, nisbah ini tidak pernah melebihi 55%.

“Pada pengiraan saya, nisbah hutang ini sudah naik ke sekitar 53.8% untuk suku pertama 2019 di bawah PH kerana Guan Eng kuat meminjam 3 bulan ini,” ujar beliau. – MalaysiaGazette