CHENNAI – Bintang wanita yang terkenal Kollywood dengan jolokan ‘Lady Superstar’. Nayathara membuat kejutan apabila mendedahkan dirinya sangat ‘menyesal’ kerana menerima tawaran berlakon dalam filem Ghajini.

Times of India melaporkan, Nayanthara atau nama sebenarnya Diana Mariam Kuriyan itu mengakui berlakon dalam filem Ghajini arahan pengarah terkenal, AR Murogadoss sebenarnya satu kesilapan besar dalam karier lakonannya.

Walaupun secara umum mengetahui filem genre thriller Ghajini itu antara yang paling berjaya dan mencapai status ‘box office’ namun bagi Nayanthara sebaliknya.

Nayanthara berkata, tindakan bersetuju berlakon sebagai watak heroine kedua selepas Asin dalam filem itu pada 2005 sesuatu di luar sangkaan beliau.

“Saya sangat menyesal malah ini adalah satu keputusan yang paling teruk pernah saya buat dalam karier perfileman sehingga kini.

“Ketika saya ditawarkan, jalan cerita serta watak saya lain, tetapi lain pula ceritanya ketika pembikinan filem tersebut. Watak ‘Chitra’ yang telah dibawakan oleh saya sebenarnya lari dari gambaran asalnya.

“Apa yang digambarkan serta jalan penceritaan serta watak saya dengan apa yang telah saya lakonkan selepas itu adalah berlainan dan saya sangat menyesal sebenarnya. Hakikatnya, saya amat menyesal,” katanya dalam satu temuramah baru-baru ini.

Sejak kejadian itu, jelas Nayanthara yang kini merupakan antara pelakon wanita paling popular Kollywood dengan penerima antara bayaran tertinggi, dirinya amat berhati-hati ketika memilih skrip yang ditawarkan kepadanya.

“Terutamanya dalam memilih skrip dan filem yang mempunyai lebih daripada satu watak heroin, saya sangat berhati-hati dan berwaspada.

“Saya juga berfikir beberapa kali sebelum berlakon dalam filem Chandramukhi lakonan Superstar Rajinikanth yang juga mempunyai Jyotika sebagai pelakon utama. Juga dalam filem Sivakasi di bintangi oleh Vijay dan Asin, saya hanya membawa watak kecil, satu lagu sahaja.

“Bagaimanapun, impak kedua-dua filem berlainan sekali bagi karier saya berbanding Ghajini,” tegasnya.

Walaupun begitu, kata Nayanthara, hakikatnya, filem Ghajini lakonan Surya dan Asin itu bukan sahaja box office malah, ia di bikin semula dalam bahasa Hindi oleh Amir Khan, juga menjadi hit besar pada 2008. –MalaysiaGazette