Wise Honest milik Pyongyang yang dirampas oleh Amerika Syarikat. foto Agensi

WASHINGTON – Amerika Syarikat telah merampas kapal kargo milik Korea Utara yang didakwa melanggar sekatan antarabangsa.

Jabatan Kehakiman (DoJ) berkata, kapal itu digunakan untuk mengangkut arang batu, eksport terbesar Korea Utara tetapi ia juga tertakluk kepada larangan eksport Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kapal Wise Honest itu pada awalnya dirampas di Indonesia pada bulan April tahun lalu dan Amerika Syarikat telah memfailkan waran rampasan pada bulan Julai.

Indonesia telah menyerahkan kapal berkenaan dan kini dalam perlayaran ke Amerika Syarikat.

Ia merupakan kali pertama Amerika Syarikat merampas kapal Korea Utara kerana melanggar sekatan dan menunjukkan hubungan antara kedua-dua negara semakin tegang.

Pertemuan kali kedua antara pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dan Presiden Donald Trump di Hanoi pada Februari lalu gagal mencapai sebarang perjanjian.

Ia disebabkan tindakan Amerika Syarikat yang mahu Korea Utara menghentikan program nuklear dan Pyongyang pula menuntut supaya sekatan yang dikenakan terhadapnya ditarik balik.

Susulan itu, Korea Utara telah membedil dua peluru berpandu pada minggu lalu bagi meningkatkan tekanan ke atas Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat berkata, pengumuman rampasan itu tiada kaitan dengan ujian nuklear yang dilakukan oleh Pyongyang baru-baru ini. – MalaysiaGazette