Hishamuddin Rais. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 08 FEBRUARI 2019
Hishamuddin Rais. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 08 FEBRUARI 2019

KUALA LUMPUR – Gerakan Reformasi IPT mempersoalkan bagaimana dua akitivis politik, Hishamuddin Rais dan Adam Adli Abd. Halim boleh dilantik berada dalam Jawatankuasa Kesatuan Pelajar (JKP).

Sedangkan JKP adalah suatu jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menjaga hal ehwal mengenai mahasiswa dalam universiti, tetapi tidak mempunyai seorang pun wakil mahasiswa dalam jawatankuasa itu.

Menurut Pengerusi gerakan itu, Usaid Asmadi, beliau telah menyuarakan hal itu kepada beberapa anggota JKP dan dimaklumkan tidak ada keperluan mahasiswa berada dalam jawatankuasa berkenaan.

“Saya tidak pasti bagaimana proses pemilihan ahlinya dan apakah merit kepada setiap lantikan yang dibuat. Apa yang pasti, JKP tidak meletakkan mahasiswa berada dalamnya. Inilah kelompongannya yang penting untuk segera diisi.

“JKP adalah mengenai mahasiswa dalam universiti. Adalah suatu yang dangkal apabila membincangkan perkara yang berkaitan dengan mahasiswa, tetapi tidak dilibat sama mahasiswa dalamnya.

“Bagaimana Kementerian Pendidikan boleh katakan mahu mewujudkan penglibatan mahasiswa dalam keputusan polisi dalam universiti jika seawal pembentukan JKP semangat ini tidak diambil sekali?” soal beliau dalam tulisannya yang dipetik Malaysiakini.

Menurut Ubaid, beliau mempunyai jawapan mudah kepada persoalan itu berdasarkan tujuan JPK ditubuhkan adalah mengenai mahasiswa.

Katanya, JKP sangat memberi kesan besar kepada struktur yang sedia ada terutama hal ehwal berkaitan dengan mahasiswa.

“Saya percaya masih banyak lagi perbincangan yang perlu diteliti dan diperhalusi terutamanya dalam soal autonomi universiti, autonomi mahasiswa, pengurusan kewangan, kebebasan bersuara, ruang mengurus tadbir hal ehwal mahasiswa serta ruang semak dan imbang, yang tidak terhad kepada soal penglibatan dalam politik semata-mata.

“Perlu wujud sinergi yang baik dan berterusan antara permintaan mahasiswa dan keperluan pentadbiran, antara semangat perubahan dengan realiti keadaan.

“Tidak meletakkan mahasiswa dalamnya hanya memutuskan hubungan salah satu pemegang taruh terpenting dalam proses pembentukan JKP di universiti,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Belia Harmoni Malaysia berkata, pihaknya meraikan usaha JKP untuk turun bertemu mahasiswa melalui pertemuan dengan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di beberapa IPT.

Cuma, kata beliau, pertemuan itu tidaklah bersifat berterusan dan tidak mengembangkan proses kefahaman mahasiswa terhadap kematangan idea JKP itu sendiri.

Juga katanya, pertemuan seperti itu tidak menjadikan mahasiswa pemegang taruh penting dalam pemutusan polisi, tetapi hanya jadi kumpulan yang diambil suaranya sahaja, yang dilihat tidak ada beza sebelum ini.

Menurut Ubaid, beliau mendapat makluman berkenaan pelantikan Adam Adli dan Hishamuddin ke dalam JKP atas faktor lantikan Menteri, Dr. Maszlee Malik.

“Saya tidak berminat nak mengulas mengenai Hishamuddin. Saya cuma mahu sentuh keberadaan Adam Adli sebagai bekas aktivis mahasiswa yang paling dekat dengan konteks dan nuansa universiti semasa.

“Ada beberapa persoalan penting perlu dinilai dan ditimbang tara. Ketika saya mencadangkan kepada seorang ahli JKP untuk libatkan sama mahasiswa aktif dalam kampus atau dalam bahasa lainnya mahasiswa yang masih dalam pengajian yang boleh mewakili mahasiswa, dia jawab, Adam Adli tahun akhir di UPSI,” katanya.

“Andaian saya, keberadaan Adam Adli mewakili pandangan mahasiswa dalam SUC,” katanya.

Beliau berkata, apabila AUKU 1971 dimansuhkan, JKP yang dibina menjadi sebahagian daripada sistem mengisi kelompongan ditinggalkan akta itu.

Adalah penting segala perbincangan di peringkat JKP turun ke akar umbi dan dibahaskan di peringkat mahasiswa kerana jawatankuasa itu adalah mengenai mahasiswa. – MalaysiaGazette