Ketua Pengarah Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 10 MEI 2019

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) akan diwujudkan pada tahun ini, kata Tan Sri Abu Kassim Mohamed hari ini.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC) Jabatan Perdana Menteri itu berkata, satu lagi mesyuarat peringkat teknikal akan diadakan minggu hadapan bagi membincang dan memuktamadkan beberapa perkara berbangkit termasuk penambahbaikan pada draf cadangan Rang Undang-Undang penubuhan IPCMC.

Menurut beliau, draf yang telah disediakan oleh Setiausaha Suruhanjaya Integriti AgensI Penguatkuasaa (EAIC), Mohamad Onn Abd Aziz akan dikemukakan kepada Kabinet selepas Hari Raya Aidilfitri untuk kelulusan.

“Kita semasa perbincangan tadi bersama lebih 20 wakil persatuan dan Polis Diraja Malaysia termasuk Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador bercakap hati ke hati.

“Banyak perkara yang menjadi perhatian kebimbangan daripada pihak polis telahpun diterangkan bagaimana kebimbangan mereka diuruskan semasa kita akan membuat kertas kabinet dan mendraf undang undang yang akan dikemukakan kepada kerajaan nanti.

“Ringkasnya saya boleh katakan perbincangan amat positif dan kita akan mengadakan satu perbincangan teknikal, bukannya apa, pada prinsipnya saya boleh katakan di sini tiada halangan (PDRM) dan sokongan diberi kepada kerajaan untuk penubuhan IPCMC ini.

“Walaubagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang memerlukan perbincangan sedikit secara teliti sebelum ia disempurnakan dalam masa seminggu dua ini sebelum dibawa ke Kabinet,” katanya pada sidang media sesi Libat Urus Bersama Persatuan Polis Berhubung Cadangan Rang Undang-Undang Penubuhan IPCMC.

Tambah beliau, penubuhan IPCMC tidak melebihi peranannya sebagai pihak berkuasa tatatertib dan ia tidak ada kuasa mendakwa bagi kes jenayah atau kes-kes lain.

Justeru katanya, penerangan teliti telah diberi oleh pihak yang merangka kertas kerja draf Rang Undang Undang penubuhan IPCMC tersebut yang mana Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM Bukit Aman masih lagi berperanan menjalankan siasatannya tanpa mengurangkan peranan asalnya.

“Bagaimanapun perkara mengenai peranan IPCMC boleh menjalankan siasatan adalah perkara yang ada bersama, makna kata pihak polis jalankan siasatan jika JIPS menerima aduan manakala IPCMC juga akan menjalankan siasatan berdasarkan aduan.

“Siasatan dibuat dan akan dibawa kepada pihak berkuasa tatatertib di mana akan diletakkan juga di bawah IPCMC yang mana ada dalam cadangan draf itu,” ujarnya.

Ditanya tempoh masa ke kabinet serta penubuhannya, Abu Kassim berkata, mesyuarat teknikal juga tidak melibatkan banyak perubahan dan cuma melibatkan beberapa penambahbaikan yang akan diseleraskan dalam masa satu dua minggu ini untuk dimuktamadkan.

“InsyaAllah siap dan ditubuhkan tahun ini,” katanya tanpa mengulas lanjut.

Turut hadir dalam mesyuarat itu Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Sebelum ini bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menegaskan PDRM akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membantah usul IPCMC yang akan diberi kuasa mengambil tindakan tatatertib terhadap salah laku anggota polis.

Menurutnya polis akan menulis surat kepada pemimpin nombor satu negara itu untuk mengemukakan bantahan Polis DiRaja Malaysia termasuk pesara polis.

Perkara ini dibincangkan dalam mesyuarat tergempar yang diadakan baru-baru ini, ekoran beberapa keputusan yang pada asalnya PDRM persetujui namun kebelakangan ini wujud banyak tentangan berhubung pelaksanaan IPCMC.

“Tentangan itu disuarakan banyak pihak dalam PDRM termasuk lebih 153,000 pesara polis berhubung beberapa perkara yang diusulkan oleh jawatankuasa yang terbabit (dalam IPCMC).

“Ini terutamanya berkaitan usaha menarik kuasa Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) di bawah Artikel 140 Perlembagaan Persekutuan berhubung isu-isu berkaitan siasatan dan tindakan tatatertib yang mahu diambil alih oleh IPCMC,” katanya. -MalaysiaGazette