KUALA LUMPUR – Vateran DAP, Lim Kit Siang mencabar Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan untuk bertaruh dengannya berhubung penyerahan jawatan perdana menteri.

Katanya, Mohamad perlu berundur dari poltik dan tidak lagi bertanding pada pilihan raya yang akan datang jika Tun Dr Mahathir Mohamad mengotakan janjinya untuk menyerahkan jawatan kepada Datuk Seri Anwwar Ibrahim.

Meskipun yakin dengan pendirian Dr Mahathir, namun jika berlaku sebaliknya maka Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu bersedia untuk berundur dari politik.

“Saya sangat yakin dengan Mahathir dan saya sedia ‘bertaruh’ dengan Mohamad bahawa Dr Mahathir akan menghormati komitmen PakatanĀ  Harapan untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.

“Jika, Mahathir tidak memberikan jawatannya kepada Anwar, sebaliknya membubarkan Parlimen untuk mengadakan PRU15 lebih awal, saya akan bersara dari politik dan tidak akan bertanding.

“Sekiranya, Mahathir berpegang kepada kata-kata beliau dan menyerahkan jawatan kepada Anwar, Mohamad perlu berundur dan tidak bertanding pada PRU15,” kata Lim ketika program ceramah Pakatan Harapan di Taman Mesra, Sandakan semalam.

Ucapan beliau disiarkan di laman blognya.

Kit Siang juga memberikan Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau tempoh dua hari untuk membuat keputusan sama ada menerima pertaruhan tersebut.

Mohamad ketika berkempen di Sandakan baru-baru ini berkata, Mahathir lebih rela membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya daripada menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar. -MalaysiaGazette