Najib Razak

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak menyindir semula Lim Guan Eng dengan memberitahu beliau ke Sandakan hari ini bukan untuk mengajar mengenai rasuah.

Sebaliknya, beliau berbincang bagaimana untuk membeli banglo di bawah harga pasaran daripada penjual yang ada kaitan perniagaan dengan kerajaan negeri.

Selepas itu, bekas perdana menteri itu hendak berbincang bagaimana kes rasuah yang sudah mula dibicara dalam mahkamah selama tiga minggu, yang mana 20 orang saksi telah memberi kenyataan boleh digugurkan begitu sahaja sehingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pun terkejut.

“Saya juga nak bincang bagaimana projek mega terowong RM6.3 bilion boleh dianugerahkan pada tahun 2013 untuk hanya mula dibina 17 tahun kemudian pada tahun 2030.

“Nak sembang juga kenapa laporan feasibiliti (kebolehlaksanaan) bernilai RM305 juta masih tidak dapat disiapkan selepas mengambil masa enam tahun.

“Nak bincang juga bagaimana pihak tertentu dijamin akan menang RFP (cadangan untuk pertanyaan) yang kononnya telus dan bagaimana 10 peratus kepentingan projek itu serta hadiah wang tunai ratusan ribu berulang-kali diberi kepada beberapa pemimpin terkanan DAP,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Najib berkata, orang Sandakan mungkin berminat bertanya kenapa ada pihak sanggup membayar sebanyak RM22 juta untuk tutup siasatan SPRM ke atas projek terowong dan berapa agaknya nilai rasuah yang ingin ditutup.

Tambahnya, beliau juga akan berbincang kenapa dalam Malaysia Baharu, penerima RM22 juta itu dikenakan 72 dakwaan di mahkamah bulan lepas tetapi pihak yang sogok dan bayar wang yang banyak pula bebas daripada sebarang dakwaan.

“Ataupun saya sudah terlambat dan Guan Eng sudah bincang semua itu dengan orang Sandakan?” soal beliau.

Najib membuat kenyataan cukup ‘tajam’ itu selepas Setiausaha Agung DAP itu mempersoalkan tindakan Najib ke Sandakan petang ini.

Menurut Guan Eng, adakah kedatangan Najib yang kini dibicarakan atas tuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa akan mengajar warga Sandakan mengamalkan rasuah atau mengajar penduduk memasukkan wang berbilion ringgit dalam akaun mereka. – MalaysiaGazette