Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. foto AFFAN FAUZI, 02 MEI 2019

BANGI – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat negara ini.

Ini kerana kata Perdana Menteri, tempoh setahun tidak cukup untuk menunaikan janji manisfesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum lalu.

“Kita sedang berusaha kerana setahun tidak cukup tapi kita sudah buat banyak.

“Sebanyak 39 peratus daripada janji kita sudah tunai dan janji-janji lain akan ambil masa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama Yang Di-Pertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Penyampaian Anugerah Cemerlang kepada Kelab Perkim Universiti di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Dr Mahathir diminta mengulas harapan barisan Menteri Kabinet untuk mencapai Inisiatif Kemakmuran 2030 yang diumumkan beliau ketika Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu semalam.

Dr Mahathir berkata, kerajaan akan memperkenalkan inisiatif baharu dikenali Kemakmuran Bersama, iaitu pembangunan yang tidak hanya dinilai melalui angka, sebaliknya pembangunan dan kekayaan harus diagih lebih adil supaya semua rakyat dapat merasainya.

Beliau berkata, Kemakmuran Bersama antara lain bermaksud usaha menjadikan Malaysia negara ‘yang terus menerus membangun secara mampan, seiring pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif (equitable growth) di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi’.

Perdana Menteri berkata, inisiatif berlandaskan tujuh teras itu akan mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan dalam kalangan rakyat menjelang tahun 2030. – MalaysiaGazette