Pelajar Sarjana Pengurusan Komunikasi yang menjayakan Hari Antarabudaya 2019 UKM, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Menghormati kepelbagaian budaya dan etnik dunia adalah aset yang perlu dipupuk terutamanya dalam kalangan pelajar universiti.

Seiring dengan itu, pelajar Sarjana Pengurusan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Pusat Hubungan Antarabangsa (UKM Global) sekali lagi menganjurkan Hari Antarabudaya 2019, yang diadakan pada setiap tahun sejak 2016, baru-baru ini.

Pensyarah Kanan, Pusat Komunikasi dan Masyarakat Digital, FSSK, UKM, Prof. Madya Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, program itu adalah sebagai platform bertukar fikiran mengenai kepelbagaian budaya dunia serta mempromosikan pengantarabangsaan dalam kalangan pelajar.

Dengan pelbagai pengisian program seperti persembahan kebudayaan dari pelbagai negara serta sesi dialog yang menampilkan ikon Malaysia seperti korografer seni tarian klasik India terkenal tanah air, Datuk Ramli Ibrahim dan rakyat Malaysia pertama yang menjejak kaki di puncak Everest, Datuk M. Magendran, beliau yakin, majlis itu memberi pendedahan, keterbukaan minda dan menarik minat pelajar untuk lebih menghormati seni dan kebudayaan negara-negara lain.

“Kami mahu mempromosikan pengantarabangsaan dalam kampus, kami mahu pelajar-pelajar UKM menikmati satu proses pengantarabangsaan yang mana mereka bukan sahaja mempelajari budaya di Malaysia bahkan budaya dunia,” katanya di UKM di sini baru-baru ini.

etnik 2
Peserta dari Nigeria turut membuat persembahan pada Hari Antarabudaya 2019 UKM, baru-baru ini.

Majlis yang disertai lebih 250 pelajar dari pelbagai negara termasuk Jordan, India, Nigeria, Pakistan, China dan Indonesia itu dirasmikan oleh Pengarah UKM Global, Prof. Madya Dr. Yazrina Yahya.

Tambah Abdul Latiff, kepelbagaian budaya yang datang dari setiap negara mencorakkan lagi landskap kebudayaan dan kesenian majlis ini yang sekali gus memupuk sikap persefahaman dan toleransi yang tinggi dalam kalangan pelajar.

Pada masa yang sama, kata beliau, antara lain program ini turut menjadi wadah kepada pelajar antarabangsa dan juga tempatan menonjolkan bakat dan budaya negara masing-masing selain meningkatkan pengetahuan serta berkongsi etnik budaya sesebuah negara.

“Saya yakin program untuk memartabatkan kepelbagaian budaya ini memberi pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada semua,” tambahnya. – MalaysiaGazette