Noorul Ain (duduk dua dari kiri) bersama exco Wadira sewaktu Majlis Berbuka Puasa anjuran Wadira di PWTC, semalam.

KUALA LUMPUR – Hasrat untuk membantu wanita supaya menjadi golongan berdikari termasuk membantu menangani isu sosial dalam kalangan remaja perempuan menjadi matlamat utama Pertubuhan Wanita Di Hati Rakyat (Wadira).

Malah, pertubuhan itu juga mahu menjadi penyumbang kepada pembangunan negara tanpa mengira perbezaan fahaman politik,
kata Timbalan Pengerusinya, Datin Noorul Ain Mohamed Nor.

Menurutnya, pertubuhan tersebut menumpukan golongan ibu tunggal, gelandangan serta memberi bantuan kepada golongan berpendapatan rendah (B40).

“Kita mahu menjadi platform kepada kaum wanita untuk segala bentuk pertolongan yang disediakan kerajaan kepada rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

“Pertubuhan ini juga mengalu-alukan penyertaan daripada segenap lapisan masyarakat untuk bersama-sama menuju ke arah Malaysia yang lebih maju dan sejahtera sejajar dengan hasrat kerajaan dalam memastikan kaum wanita mampu berdikari seiring dengan pembangunan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis berbuka puasa anjuran Wadira di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Wadira, Datuk Tengku Ilham Almarhum Tengku Temenggung Abdul Aziz.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, peratusan kaum wanita yang berjaya ke universiti telah melepasi 60 peratus dan ini merupakan satu angka yang membanggakan sejak tahun 2003.

Bagaimanapun katanya, penyertaan wanita dalam pasaran buruh hanya pada paras 54.7 peratus sahaja berbanding dengan kaum lelaki pada paras 80.1 peratus.

Dalam pada itu, Noorul Ain turut mengajak semua pihak untuk bersama-sama membantu dan memartabatkan kaum ibu di negara.

“Kita harus mendekati mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan dengan menjadikan kaum ibu yang berjaya sebagai role model untuk terus membantu mereka yang memerlukan.

“Kita berhasrat untuk membantu menggiatkan lagi usaha untuk membolehkan kaum wanita terus menyumbang dalam pembangunan negara,” tambahnya.

Noorul Ain turut memaklumkan Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Almarhum Sultan Idris Shah berkenan untuk menjadi Penaung Diraja kepada pertubuhan tersebut. – MalaysiaGazette