Akhmal Nasir

KUALA LUMPUR – Pengampunan DiRaja daripada Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei 2018 yang diberikan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya diperlekehkan oleh golongan tidak bertanggungjawab.

Malah tindakan menggelar Anwar sebagai banduan sebenarnya tidak sepatutnya berlaku apatah lagi selepas mendapat pengampunan DiRaja, jelas menunjukkan proses itu tidak difahami walaupun bergelar peguam.

Itu luahan Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasrullah Mohd Nasir yang menganggap kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang menyoal kelayakan Anwar menerajui negara sebagai Perdana Menteri kelapan apabila pernah bergelar banduan.

“Sebenarnya sangat mengecewakan kenyataan seumpama itu dikeluarkan oleh seorang yang berlatarbelakangkan peguam yang pastinya cukup arif dengan perundangan. Bagi saya, kenyataan itu tidak lebih daripada berniat jahat semata-mata.

“Ianya berniat untuk menghina Anwar Ibrahim sekaligus memperlekeh perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mengurniakan pengampunan penuh beliau.

“Pada 16 Mei 2018, Yang Di-Pertuan Agong telah memberikan pengampunan penuh tanpa syarat kepada Anwar yang membawa maksud sabitan ke atas kes liwat II telah diketepikan terus dan Anwar dianggap sebagai bukan seorang banduan.

“Beliau juga dibenarkan untuk terus menyertai pilihan raya yang bermaksud sekatan lima tahun di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan tidak berbangkit.

“Bagaimana mana satu yang tidak difahami dengan jelas oleh Takiyuddin ini? Saya juga tidak faham,” tegasnya.

Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru mendakwa Takiyuddin sebenarnya sangat biadap, melampaui batas serta mempunyai niat jahat yang tidak langsung boleh dimaafkan.

“Seharusnya Takiyuddin tampil memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan seumpama itu. Jangan memandai perlekeh dan cuba menimbulkan keadaan tidak harmoni seperti ini,” ujarnya.

Takiyuddin dilaporkan mengeluarkan kenyataan itu pada Rabu lalu ketika menyampaikan ceramah di Taman Indah, Sandakan ketika berkempen untuk Pilihan Raya Kecil (PRK).

Pengampunan DiRaja merujuk kepada pengampunan melalui kuasa budi bicara yang lahir daripada institusi beraja dan merupakan kuasa yang sinonim dengan institusi beraja.

Daripada perspektif sejarah, ia kuasa prerogatif raja, seperti kuasa untuk membuat pengisytiharan perang dan menentukan hukuman mati. Bagi negara yang tidak beraja, kuasa pengampunan dilaksanakan oleh presiden.

Implikasi undang-undang yang paling besar impaknya dalam hidup orang yang telah dijatuhkan hukuman salah dan telah menjalani sebahagian besar hukuman tersebut ialah dia telah bebas dari semua tuduhan yang dijatuhkan kepadanya dahulu.

Kemimpin DAP, Lim Kit Siang yang pernah dipilih sebagai Ahli Parlimen Bandar Melaka pada tahun 1969 terpaksa mengosongkan kerusi itu kerana kesalahan pilihanraya.

Walau bagaimanapun, Kit Siang dibenarkan untuk kekal di kerusi itu setelah mendapat pengampunan DiRaja daripada Yang di-Pertuang Agong. – MalaysiaGazette

Anwar bukan banduan, layak jadi perdana menteri