Pochettino disenarai oleh Juventus sebagai calon tunggal untuk menggantikan Allegri sebagai pengurus the Old Lady di Serie A musim hadapan.

ROM- Juventus dilaporkan menolak peluang menggaji bekas pengurus Manchester United Jose Mourinho untuk menggantikan Massimiliano Allegri musim depan.

Sebaliknya, kejurulatihan ajaib Pengurus Tottenham Hotspurs Mauricio Pochettino yang membawa pasukan ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah kali ini berada dalam pengawasan rapat kelab Serie A Itali itu.

Pasukan gergasi Itali itu berjaya menjulang gelaran Serie A untuk musim kelapan berturut-turut April lalu.

Bagaimanapun Allegri menjadi topik kritikan penyokong kelab itu selepas tersingkir dari kempen Liga Juara-Juara Eropah musim ini.

The Old Lady membelanjakan 100 juta pound untuk khidmat Cristiano Ronaldo bagi membantu pasukan membawa pulang kejuaraan Eropah tetapi dikejutkan Ajax pada aksi suku akhir.

Agen Mendes menawarkan khidmat Mourinho untuk dipertimbangkan sebagai pengganti Allegri.

Bagaimanapun Juventus menolak Mourinho dengan menganggap taktik kejurulatihan bekas pengurus Real Madrid dan Inter Milan itu jauh ketinggalan daripada ekspektasi Juventus.

The Turin kini dilaporkan menilai potensi membawa masuk Pochettino ke Stadium Allianz setelah laporan jurulatih warga Argentina itu sendiri mengakui dia akan meninggalkan Spurs jika menjulang kejuaraan Eropah 6 Jun ini menentang Liverpool.

Pengurusan tertinggi Juventus juga dikatakan bersedia untuk berusaha secara total apa jua cara sekalipun untuk memastikan Pochettino mengisi kekosongan yang ditinggalkan Allegri.

Namun keputusannya sama ada Pochettino akan tinggalkan Spurs seperti yang diakui kepada media atau tidak bergantung kepada jurulatih itu sendiri. – MalaysiaGazette