Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin

SHAH ALAM – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan 8 syarikat di China yang mempunyai peralatan canggih Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi membina rumah mampu milik dalam negara.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, MoU itu akan disusuli dengan pembukaan kilang berteknologi digital berkaitan IBS bagi menggalakkan pemaju menggunapakai model berteknologi tinggi yang disediakan untuk tujuan membina kediaman mampu milik.

Katanya, ia seterusnya dapat mencapai sasaran kerajaan agar rakyat golongan B40 layak memiliki rumah sendiri.

“KPKT semasa rombongan ke Beijing (26 April) adakan 8 MoU dengan syarikat China yang mampu bawa pelaburan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) pada pembinaan rumah mampu milik negara,” katanya ketika berucap.

“Sistem IBS kita gunapakai setelah diiktiraf KPKT, kita galak semua swasta dan negeri gunapakai IBS. Ketika ini dua model yang disiapkan. Saya minta mereka sediakan empat model berbeza agar pemaju ada pilihan,” tambahnya pada sidang media.

Zuraida berkata, kaedah IBS akan dapat mengurangkan harga rumah berikutan tempoh pembinaan yang lebih pendek selain mengurangkan penggunaan tenaga buruh sehingga 40 peratus menerusi teknologi digital.

“Kos teknologi tidak tinggi tetapi IBS akan turunkan harga rumah dari segi material, tenaga buruh, masa pembinaan ada yang 6 bulan boleh siap rumah,” ujar beliau.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, inovasi dan teknologi digital digunakan demi menangani permintaan terhadap rumah mampu milik dalam waktu terdekat.

IBS yang merangkumi alat reka bentuk dalam talian, Pemodelan Maklumat Pembinaan (BIM) dalam projek perumahan awam dikatakan akan membantu kerajaan untuk memenuhi sasaran satu juta unit rumah mampu milik dibina dalam tempoh 10 tahun. – MalaysiaGazette