Hotel Zaver Pearl-Continental. foto Agensi

ISLAMABAD – Tiga lelaki menyerang sebuah hotel bertaraf lima bintang di wilayah Balochistan mengorbankan sekurang-kurangnya seorang mangsa.

Serangan itu berlaku di Zaver Pearl-Continental Hotel di bandar pelabuhan strategik Gwadar pada pukul 4.50 petang (waktu tempatan).

Hotel itu terletak di pusat projek bernilai berbilang dolar Amerika Syarikat.

Ia menjadi sasaran kerana ia popular dalam kalangan pegawai tinggi kerajaan dan pelancong asing.

Jurucakap hotel berkata, hotel itu tiada tetamu dan jumlah kakitangan pula sedikit kerana bulan Ramadan.

Puak pemisah Tentera Pembebasan Balochistan mengaku telah melakukan serangan itu dengan mensasarkan pelabur China dan lain-lain.

“Dijangka lebih banyak serangan ke atas China dan Pakistan,” kata akaun Twitter yang dikaitkan dengan kumpulan berkenaan.

Pemberontak di Balochistan menentang pelaburan China kerana didakwa hanya memberi faedah yang sedikit kepada penduduk tempatan.

Mangsa yang mati adalah seorang pengawal keselamatan yang cuba menahan penyerang ketika memasuki hotel berkenaan lalu berlaku berbalas tembakan.

Hotel itu terletak di atas bukit yang menghadap Pelabuhan Gwadar di atas Laut Arab dibangunkan oleh China sebagai sebahagian daripada Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC), rangkaian jalan raya, keretapi dan saluran paip antara kedua-dua negara.

China mengutuk serangan tersebut. – MalaysiaGazette