KUALA LUMPUR –  Bursa Malaysia dijangka didagangkan rendah minggu depan, tertekan oleh kedudukan ringgit, selain harga komoditi dan prestasi Wall Street yang lemah.

Penganalisis bagaimanapun yakin bahawa kelemahan ini, termasuk perang perdagangan semasa antara Amerika Syarikat dan China, serta penunjuk teknikal yang lemah, hanyalah sementara.

“Kami melihat saham China menerajui ekuiti Asia Pasifik ke tahap yang lebih tinggi pada Jumaat meskipun AS menaikkan duti ke atas produk China bernilai US$200 bilion.

“China segera membayangkan bahawa ia akan mengambil tindakan balas, namun tidak menyatakan secara khusus tindakannya,” kata Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Asia Pasifik, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan kepada Bernama.

FBM KLCI merosot ke paras terendah dalam tempoh tiga tahun pada Jumaat, susulan tindakan pelabur menyalaraskan kedudukan mereka disebabkan ketegangan perdagangan.

Dalam negara, Dr Nazri Khan menjangkakan berita politik terkini mampu menyediakan penampan.

Beliau berkata pasaran bertindak positif terhadap arah tuju ekonomi baharu untuk Malaysia yang digariskan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antara teras strategik ialah penstrukturan semula dan meningkatkan ekosistem perniagaan, meningkatkan pembaharuan bakat dan sumber negara, serta menjana sektor pertumbuhan baharu.

“Objektif kerajaan Pakatan Harapan untuk berkongsi kemakmuran, akan menjadi pemangkin utama untuk meningkatkan pertumbuhan ekuiti yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Sepanjang minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia diniagakan lebih rendah susulan sentimen pasaran yang berhati-hati, dengan para pelabur menunggu perkembangan lanjut rundingan perdagangan dua hala AS-China.

Minggu itu juga menyaksikan Axiata Group dan Telenor Group Norway mengumumkan kedua-duanya sedang berbincang bagi kemungkinan menggabungkan operasinya di Asia selain keputusan Bank Negara menurunkan kadar dasar semalaman.

Pada asas Jumaat-Jumaat, penanda aras FBM KLCI merosot 27.03 mata kepada 1,610.27.

Indeks FBM Emas merosot 236.80 mata kepada 11,374.96, Indeks FBMT 100 turun 226.91 mata kepada 11,205.05 manakala Indeks FBM Emas Syariah turun 229.34 mata kepada 11,550.43.

Indeks FBM Ace susut 113.46 mata kepada 4,532.57 dan FBM 70 merosot 442.34 mata kepada 14,079.05.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 366.75 mata kepada 16,566.18, Indeks Perladangan susut 151.59 mata kepada 7,050.28 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 2.66 mata kepada 166.68.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 12.71 bilion unit bernilai RM9.87 bilion berbanding 10.39 bilion unit bernilai RM7.94 bilion Jumaat lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 8.02 bilion saham bernilai RM8.85 bilion berbanding 7.51 bilion saham bernilai RM7.36 bilion.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 2.54 bilion unit bernilai RM704.83 juta berbanding 1.45 bilion unit bernilai RM347.61 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 2.14 bilion saham bernilai RM301.87 juta berbanding 1.41 bilion saham bernilai RM232.15 juta sebelumnya. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan