Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail diiringi Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bergambar kenangan bersama para peserta pada Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di MAEPS Serdang, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 12 MEI 2019.

SERDANG- Para jururawat dinasihatkan untuk mengimbangi di antara kerjaya dan kehidupan peribadi.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, kerjaya di dalam bidang perubatan memberi tekanan yang sangat kuat.

Tetapi sebagai seorang doktor beliau berasa bertuah kerana sering dibantu dan diberi tunjuk ajar oleh para jururawat yang lebih berpengalaman.

“Para jururawat perlu sentiasa meningkatkan kemahiran dan belajar teknik-teknik baharu.

MGF12052019_TPM HARI JURURAWAT54
Sebahagian jururawat lelaki yang hadir pada Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di MAEPS Serdang, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 12 MEI 2019.

“Mereka perlu ada keseimbangan di antara kerjaya dan kehidupan peribadi kerana jururawat juga adalah manusia biasa.

“Bukan mudah untuk melayan kerenah pesakit, kadang-kala doktor sendiri pun tidak mampu (melayan kerenah pesakit) tetapi para jururawat dapat melakukannya.

“Anda semua, para jururawat mempunyai keupayaan untuk mengubah kisah-kisah yang dikutip sepanjang perkhidmatan menjadikannya dasar-dasar dan sistem yang diperlukan untuk merealisasikan matlamat Kesihatan Untuk Semua,” katanya semasa menyampaikan ucapan sempena Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa di sini hari ini.

MGF12052019_TPM HARI JURURAWAT69
Sebahagian jururawat melafaz ikrar pada Sambutan Hari Jururawat Antarabangsa Peringkat Kebangsaan di MAEPS Serdang, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 12 MEI 2019.

Dalam pada itu, Dr. Wan Azizah turut mengakui kesukaran untuk melaksanakan dasar larangan merokok di tempat makan berikutan bantahan pelbagai pihak sedangkan dasar tersebut adalah untuk memelihara kesihatan semua rakyat.

“Pastinya perkara paling tidak bertanggung jawab yang boleh dilakukan oleh seseorang itu adalah dengan mengabaikan kesihatan diri dan orang lain tetapi dalam masa yang sama menyalahkan kerajaan kerana dituduh tidak bersungguh-sungguh melaksanakan dasar.

“Apabila kita melaksanakan dasar larangan merokok di tempat makan, kami dibantah oleh golongan perokok tetapi dalam masa yang sama mahu kerajaan mengambil berat kesihatan rakyat, jadi bagaimana, ya?” katanya lagi.

Setiap tahun, dunia meraikan Hari Jururawat pada 12 Mei sempena kelahiran pengasas kejururawatan moden, Florence Nightingale.-MalaysiaGazette