Nur Sajat . foto AFFAN FAUZI, 24 JULAI 2017

KUALA LUMPUR – Usahawan kosmetik terkemuka, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bharu atas pertuduhan memiliki 19 produk kecantikan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya menerusi jurubahasa di hadapan Majistret Norasidah Abd Rahman.

Usahawan itu didakwa mengikut Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952, sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM25,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama.

Mengikut kertas pertuduhan, sepasukan anggota dan pegawai unit farmasi KKM melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Bandar Baru Uda, kira-kira pukul 12 tengah hari, 15 Ogos 2018 sebelum merampas 19 jenis produk kecantikan bernilai hampir RM10,000.

Tindakan diambil mengikut Peraturan 7(1)(a) Peraturan-peraturan kawalan dadah dan kosmetik 1984 dan merupakan satu kesalahan mengikut Peraturan 30(1) Peratutan-peraturan kawalan dadah dan kosmetik 1984.

Mahkamah menetapkan RM7,000 sebagai jumlah wang jaminan dan seorang penjamin serta 23 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Nur Sajat bagaimanapun hanya menjelaskan wang jaminan kira-kira pukul 12 tengah hari tadi selepas menunggu rakannya mengeluarkan wang.-MalaysiaGazette