Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia mengalami penurunan secara menyeluruh hari ini ekoran kebimbangan mengenai musim pendapatan suku pertama dan kecairan yang lemah, selain perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang kembali tegang.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) jatuh ke paras terendah sejak Jun 2016 kepada 1,601.09, penurunan sebanyak 9.18 mata berbanding 1,610.27 pada penutupan Jumaat lepas.

Indeks penanda aras yang dibuka pada 1,610.55, bergerak antara paras rendah 1,598.60 dan tinggi pada 1,611.47 sepanjang dagangan.

Kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 815 berbanding 140, manakala 260 kaunter tidak berubah, 694 tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.48 bilion saham bernilai RM1.65 bilion berbanding 2.29 bilion saham bernilai RM1.84 bilion pada Jumaat.

Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew berkata gabungan ‘buruk’ kecairan domestik yang lemah dan pendapatan korporat akan terus menjejaskan pelabur asing untuk menyertai pasaran.

“Jika anda mencatat prestasi keuntungan yang kukuh dan kecairan yang lemah, pasaran saham masih boleh meningkat memandangkan dana asing akan mengakui bahawa asasnya masih kukuh, namun kini secara umumnya pendapatan korporat dan kecairan secara umumnya lemah, sekali gus tiada insentif untuk mereka datang,” katanya kepada Bernama.

Oleh itu, beliau menjangkakan sokongan berikut ialah pada 1,587 memandangkan paras sokongan 1,600 ditembusi hari ini.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pelabur akan terus berhati-hati dalam strategi pelaburan mereka dalam tempoh terdekat, memantau data suku pertama Keluaran Dalam Negara Kasar, yang dijangkakan mencatat pertumbuhan yang perlahan.

“Kini berlaku perang perdagangan, dan kita masih tidak pasti sama ada China akan bertindak balas terhadap tindakan terkini AS, dan sama ada ia meliputi langkah-langkah bukan tarif seperti penurunan nilai mata wang atau menjual pegangan bon Perbendaharaan AS,” katanya.

AS dan China menamatkan rundingan perdagangan minggu lepas, tanpa sebarang keputusan, yang menambah lagi ketidaktentuan terhadap perdagangan global.

Selain itu, AS turut menaikkan tarif ke atas barangan China bernilai US$200 bilion kepada 25 peratus pada Jumaat berbanding 10 peratus sebelum ini.

Mohd Afzanizam berkata, pelabur asing kekal sebagai penjual berisj dengan jualan bersih bernilai RM450.9 juta.

“Ini merupakan jualan bersih tujuh minggu berturut-turut yang dicatatkan oleh pelabur asing,” katanya dan menambah pada tahap ini, FBMKLCI akan terus bergerak pada paras semasa dalam tempoh terdekat.

Antara saham wajaran tinggi Maybank menokok satu sen kepada RM8.98, Public Bank menambah enam sen kepada RM22.32 manakala Petronas Chemicals susut lima sen kepada RM8.84.

Bagi saham aktif, Bumi Armada dan Lambo masing-masing susut satu sen kepada 19 sen dan tujuh sen, manakala Sapura Energy turun setengah sen kepada 31 sen.

Indeks FBM Emas susut 100.42 mata kepada 11,274.54, FBMT 100 turun 89.50 mata kepada 11,115.55 manakala FBM 70 turun 216.18 mata kepada 13,862.87.

Indeks FBM Emas Shariah susut 141.33 mata kepada 11,409.10, dan Indeks FBM Ace turun 113.97 mata kepada 4,418.60.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 49.45 mata kepada 16,516.73, Indeks Perladangan turun 35.87 mata kepada 7,014.41 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 1.91 mata kepada 164.77.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.56 bilion saham bernilai RM1.57 bilion daripada 1.48 bilion saham bernilai RM1.67 bilion yang dicatatkan pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 181.85 juta unit bernilai RM22.63 juta berbanding 439.87 juta unit bernilai RM122.21 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE meningkat kepada 740 juta saham bernilai RM57.29 juta daripada 366.31 juta saham bernilai RM49.46 juta sebelumnya.

Barangan dan perkhidmatan pengguna menyumbang 249.08 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, barangan dan perkhidmatan industri (231.72 juta), pembinaan (218.47 juta), teknologi (119.23 juta), SPAC (nil), perkhidmatan kewangan (50.93 juta) 121.37 juta), perladangan (29.89 juta), REIT (8.72 juta), dana tertutup (16,000), tenaga (425.85 juta), penjagaan kesihatan (26.07 juta), telekomunikasi dan media (37.88 juta) serta utiliti (24.13 juta). – MalaysiaGazette