Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menunjukkan barang-barang rampasan yang digunakan kumpulan pengganas Daesh yang merancang untuk melancarkan operasi pembunuhan pada sidang media khas di Menara 1, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Tindakan pantas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menangkap empat individu disyaki anggota pengganas Daesh yang dipercayai merancang melakukan serangan ‘berskala besar’ ke atas beberapa rumah ibadat, pusat hiburan di Lembah Klang pada minggu pertama Ramadan.

Malah kumpulan ini juga merancang untuk membunuh beberapa induvidu berprofil tinggi yang dipercayai ‘terlibat’ menghina dan tidak memperjuangkan agama Islam.

Pada operasi yang dilakukan 5 dan 7 Mei lalu, Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM menahan seorang lelaki tempatan dipercayai ketua sel ‘wolf pack’, dua kaum etnik  Rohingnya yang memiliki memiliki kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian  (UNCHR) dan seorang warga Indonesia.

Menurut Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador, antara motif kumpulan ini termasuk membalas dendam terhadap kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kasim ketika rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman, Seafileds.

Selain itu, katanya, mereka juga mahu melakukan serangan terhadap beberapa rumah ibadat Hindu, Buddha dan Kristian dan beberapa pusat hiburan di Lembah Klang dan menyerang Kedutaan Myanmar bermula minggu lalu serta berjihad di Rakhine.

“Mereka juga mahu merancang pembunuhan beberapa individu yang sangat berprofil tinggi, saya tidak mahu dedah siapa atas sebab-sebab keselamatan, cukuplah sekadar anda tahu mereka ini memiliki profil tinggi di negara ini.

“Hasil tangkapan ini juga kita berjaya merampas sepucuk pistol jenis CZ 9MM bersama 15 butir peluru dan enam batang ‘improvised explosive devices’ tidak kurang 18sm yang diperolehi dari negara jiran.

“Tangkapan kita lakukan di sekitar Kuala Lumpur, Jalan Kelang Lama dan Subang Jaya dan kesemua suspek sudah mengaku rancangan mereka, kita siasat mereka di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

“Kita sudah mengintip kegiatan mereka sejak awal Januari tahun ini dan mereka menggunakan aplikasi sosial ‘whatsapp’ untuk berkomunikasi antara satu sama lain,” katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Dalam pada itu Abdul Hamid mendedahkan pihaknya sedang memburu tiga lagi anggota Daesh yang disyaki terlibat dalam rancangan melakukan serangan ke atas rumah ibadat bukan Islam.

Mereka ialah Syazani Mahzan, 27 berasal dari Bedong Kedah; Muhamad Nuurul Amin Azizan, 27, juga dari Bedong Kedah dan Fatir Tir warga Indonesia dari Banting Selangor.

Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai individu terbabit diminta menghubungi pegawai penyiasat, ASP Manivanan Sibalinggam di talian 017-3278435. – MalaysiaGazette