Suspek, Brenton Tarrant dikawal ketat ketika dibawa masuk ke mahkamah Christchurch. foto Agensi

WELLINGTON – Inkuiri berhubung insiden pembunuhan beramai-ramai dalam dua buah masjid di New Zealand akan dimulakan pada hari ini selepas Perdana Menteri, Jacinda Ardern bersedia untuk mengadakan mesyuarat bersama di Perancis bagi mendapatkan sokongan global mengatasi keganasan atas talian, lapor Reuters.

Pada 15 Mac lalu, seorang lelaki bersenjatakan sepucuk senapang menembak mati 51 orang dalam dua kejadian serangan di Christchurch sambal mengadakan live streaming di Facebook.

Ia merupakan insiden tembakan paling buruk pernah berlaku di New Zealand.

Inkuiri oleh Suruhanjaya Diraja New Zealand akan melihat kepada aktiviti-aktiviti suspek, penggunaan media sosial dan hubungan antarabangsa serta sama ada terdapat penetapan keutamaan yang tidak sesuai dalam sumber-sumber menghalang keganasan.

“Dapatan suruhanjaya itu akan membantu memastikan serangan sedemikian tidak akan berulang lagi,” kata Ardern dalam satu kenyataan mengumumkan pesuruhjaya kedua bagi inkuiri berkenaan.

Suruhanjaya akan melaporkan dapatan tersebut kepada kerajaan pada 10 Disember ini. – Agensi