GENEVA (Reuters) – Kehadiran pasukan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) di negara Teluk suatu ketika dahulu dianggap sebagai ancaman serius namun kini mereka dilihat sebagai sasaran.

Menurut seorang komander kanan Iran Revolutionary Guards (IRG), mereka bersedia untuk melakukan serangan balas sekiranya tentera AS bertindak melakukan sesuatu.

“Sebuah kapal pembawa pesawat membawa sekurang-kurangnya membawa 40 hingga 50 buah kapal terbang dan memiliki 6,000 tentera menjadikannya satu ancaman serius kepada kami pada suatu ketika dahulu.

“Namun kini, ancaman tersebut telah bertukar menjadi peluang.

“Sekiranya AS menyerang, kami bersedia untuk menembak kepala mereka,” kata Ketua Aeroangkasa IRG, Amirali Hajizadeh seperti yang dilaporkan agensi berita Iranian Student’s News Agency (ISNA).

Pasukan tentera AS telah menghantar sebuah kapal yang membawa pesawat dan pengebom B-52 ke Timur Tengah dalam usaha yang digelar oleh pegawai-pegawai kanan negara tersebut sebagai tindakan untuk menghalang “petunjuk jelas” ancaman Iran terhadap pasukan ketenteraan AS di rantau berkenaan.

Bercakap dalam satu temubual dengan CNBC, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo, penghantaran pasukan ketenteraan itu adalah respon terhadap maklumat risikan mengenai potensi serangan oleh Iran dan bermatlamat untuk menghalang negara itu melakukan sebarang tindakan yang buruk.

“Kami telah melihat laporan berita tersebut. Ia satu ancaman yang benar.

“Ia juga adalah satu perkembangan terkini dan kami bimbang mengenainya.

“Sekiranya Iran berhasrat untuk melakukan sesuatu terhadap kepentingan AS sama ada di Iraq atau Afghanistan atau Yaman atau mana-mana tempat di Timur Tengah, kami telah bersedia untuk membalas dengan cara yang betul,” katanya sambil menambah “perang bukan matlamat kami.”

Menurut ISNA, seorang komander tentera laut Iran, Hossein Khazadi berkata, pasukan ketenteraan AS mesti meninggalkan negara Teluk.- Agensi