Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saiffudin Nasution (dua kiri) beramah mesra dengan Pengerusi County Heights Holdings Berhad, Tan Sri Lee Kim Yew (dua kanan), Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, Datuk Ir Mohd Shuhaimi Hassan (kanan) dan Pengasas Kawan Food Manufacturing Sdn Bhd, Gan Thiam Chai (kiri) pada Majlis Perasmian Pengagihan Roti Canai di hadapan Nouvelle Hotel Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 13 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan bekalan bagi 20 jenis barangan keperluan menjelang Hari Raya Aidilfitri mencukupi.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya akan memperkenalkan skim kawalan harga bagi barangan keperluan berkenaan seperti mana dilaksanakan sebelum ini.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna akan menambah lima lagi jenis barangan dalam skim kawalan tersebut dan pengumumannya akan dibuat Rabu ini.

“Ya, bekalan sepanjang musim Ramadan dan menjelang perayaan mencukupi. Perayaan kali ini bertindih. Kita akan mula dengan Aidilfitri diikuti dengan Pesta Kaamatan dan Hari Gawai. Berturut-turut.

“Isu bekalan ini sangat penting, dan saya dimaklumkan bahawa kesemua bekalan barangan mencukupi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran inisiatif swasta menangani inflasi di pekarangan Hotel Unicorn di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Country Heights Holdings Bhd, Tan Sri Lee Kim Yew.

Pada majlis berkenaan, Saifuddin turut mengedarkan 50,000 keping roti canai secara percuma kepada pengguna jalan raya dan lapan buah rumah anak yatim sekitar Lembah Klang.

Dalam pada itu, Hotel Unicorn yang sebelum ini dikenali sebagai Hotel Novelle mengambil tanggungjawab sosial koporat apabila mengedarkan roti canai secara percuma.

Orang ramai boleh menikmati roti canai yang boleh diambil secara terus di pintu utama hotel tersebut bermula pukul 2.30 petang hingga 8.30 malam dari 9 Mei hingga 31 Mei ini. – MalaysiaGazette