Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kemenangan calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan Sabtu lalu memang sudah dijangka, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, melihat komposisi kaum di kawasan itu yang didominasi pengundi Cina, UMNO memang sudah menjangkakan DAP akan menang.

Jelas beliau, walaupun Parti Bersatu Sabah (PBS) bukan bersama Barisan Nasional (BN) lagi, tetapi sebagai rakan pembangkang, UMNO Sabah menunjukkan solidariti membantu calon parti itu dalam kempen PRK.

“PRK ini mengesahkan lagi sokongan pengundi Cina masih kepada DAP. Ketika PRU14 sokongan pengundi Cina terhadap DAP berada pada tahap 95 peratus.

“Ini bermakna orang Cina telah bersatu di bawah DAP untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan dan negeri yang ketika itu diterajui BN.

“Jika dilihat daripada keputusan PRU lalu, DAP menguasai negeri Pantai Barat Semenanjung seperti Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka malah Johor,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Menurut Ismail Sabri, dalam Parlimen, DAP merupakan parti kedua terbesar selepas PKR dan jelas menunjukkan orang Cina bersatu di bawah parti itu untuk menumbangkan kerajaan BN.

Katanya, beliau tidak menyalahkan orang Cina untuk bersatu menyokong DAP kerana itu hak mereka berlandaskan demokrasi.

“Itu hak mereka untuk memperkukuhkan solidariti kaum mereka. Itu hak mereka untuk meneruskan agenda mereka bagi menuntut lebih banyak yang  mereka anggap hak mereka. Demi demokrasi tiada siapa berhak menghalang.

“Cuma yang menghairankan mengapa hak tersebut tidak boleh diperjuangkan oleh orang Melayu? Apabila orang Melayu ingin bersatu di atas platform Perpaduan Ummah seperti penyatuan kerjasama antara UMNO dan Pas, ada pula pihak tertentu yang keras menentang.

“Pemimpin DAP seperti Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng membuat kenyataan menuduh kerjasama ini sebagai satu pengisytiharan perang terhadap orang bukan Melayu. Malah Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming membuat kenyataan jika UMNO-Pas berjaya menubuhkan kerajaan, Malaysia kononnya akan ditadbir oleh kerajaan ala Taliban,” katanya.

Persoalannya, ujar beliau, kenapa orang Melayu dihalang daripada bersatu bersama UMNO-Pas dan dituduh pula dengan pelbagai persepsi negatif, sedangkan mereka merasakan tidak salah pula orang Cina bersatu di bawah DAP?

“Apakah hak untuk bersatu memperkukuhkan kerjasama kaum hanya merupakan hak orang “Cina DAP” semata-semata? Apakah orang Melayu tidak mempunyai hak untuk bersatu?

“Jika bersatu itu dianggap rasis dan boleh mengancam kaum lain? Orang Cina bersatu dengan DAP bukan sahaja untuk menuntut apa yang mereka fikir hak mereka, tetapi turut mencabar dan menggugat hak orang Melayu dan Bumiputera.

“Sedangkan orang Melayu bersatu hanya untuk mempertahankan hak mereka seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial yang sedang digugat dan dicabar oleh DAP,” katanya.

Beliau berharap DAP tidak bersikap bias terhadap orang Melayu dan jangan kerana untuk menutup sikap perkauman mereka yang rakus dan jahat, maka orang Melayu dilemparkan pelbagai fitnah, sedangkan dalam masa sama DAP menghalalkan pula segala tindak tanduk chauvanis mereka.

Beliau yang juga ketua pembangkang berkata, sejak merdeka negara berada dalam keadaan aman sejahtera dan sikap toleransi serta hormat menghormati antara kaum membolehkan rakyat hidup dalam keadaan aman makmur dan tenteram.

“Janganlah cuba pecah belahkan keadaan sedia ada. Gunakan hak masing-masing dalam ruang lingkup yang telah dipersetujui berlandaskan perlembagaan. Jangan menceroboh ke luar garisan sempadan yang dibenarkan.

“MCA juga parti kaum Cina yang memperjuangkan kepentingan kaum tersebut, tetapi perjuangan mereka dalam ruang lingkup Perlembagaan Persekutuan.

“Namun MCA dianggap pembelot kepada kaum Cina oleh penyokong DAP. Jelas DAP bukan sahaja rasis, tetapi cuba mencabar dan merubah sesuatu yang dipersetujui oleh semua kaum di dalam sosial kontrak yang seterusnya membentuk Perlembagaan Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette