Pogba yang tidak berbaju membalas maki hamun penyokong di Old Trafford dengan reaksi sinis selepas tewas 2-0 kepada pasukan tersingkir Cardiff City.

MANCHESTER – Aksi buruk Manchester United yang menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan kekalahan memalukan apabila tewas 0-2 di tangan Cardiff City dikecam penyokong di Old Trafford.

Dalam aksi di Old Trafford semalam, Cardiff berjaya mengejutkan tuan rumah dengan gol pendahuluan menerusi sepakan penalti yang tidak seharusnya diberikan memandangkan tidak berlaku sentuhan antara pemain pertahanan United,  Diago Dalot dengan penyerang pasukan lawan.

Pada separuh masa kedua pula Cardiff melebarkan jaringan pada minit ke-54, sekaligus memburukkan lagi nasib pasukan tuan rumah.

Pasukan Ole Gunnar Solskjaer yang dibarisi Paul Pogba, Jesse Lingard, Marcus Rashford gagal menampilkan aksi terbaik untuk membuka jaringan.

United mendapat tiga peluang menjaringkan gol pada separuh masa pertama, namun gagal memanfaatkan peluang itu.

Solskjaer yang duduk bersama pemain ternyata kecewa dan menjerit ke arah pemain sebagai menyatakan rasa tidak puas hatinya.

Selepas tamat perlawanan Pogba dilihat berada di tepi padang berdekatan penyokong.

Penyokong setia United mula marah dan mengecam Pogba sebagai punca kekalahan pasukan itu.

Pogba yang tidak berbaju dilihat menepuk tangan ke arah penyokong tempatan bersebelahan terowong pemain apabila salah seorangnya menuding jari ke arah Pogba sambil meminta Solskjaer mengeluarkan bintang itu dari skuad utama.

Dalam satu lagi video yang tular menunjukkan pertelingkahan antara Pogba dan penyokong, yang mana salah seorang peminat kelab itu memaki Pogba.

Bintang Perancis yang menjadi sasaran Real Madrid itu menyumbangkan 16 gol pada musim ini.

Penyokong yang ternyata sedih dengan prestasi buruk kelab menyalahkan sikap tidak profesional serta tamak Pogba.

Solskjaer dijangka membuat keputusan mengenai barisan pemain pasukan menjelang musim hadapan. – MalaysiaGazette