Tabung haji
Orang ramai diminta tidak menyerahkan sebarang deposit kepada mana-mana pihak selagi tidak mendapat surat tawaran.

KUALA LUMPUR- Lembaga Tabung Haji (TH) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM440 juta bagi suku pertama 2019 berakhir 31 Mac lalu didokong oleh pendapatan berjumlah RM623 juta.

TH menjangkakan pendapatannya akan meningkat bermula suku kedua apabila penerbitan sukuk oleh Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. bakal memberi pulangan hampir empat peratus atau kira-kira RM800 juta setahun ditambah dengan pelarasan pelaburan baharu.

Dalam satu kenyataannya di sini hari ini, TH berkata, prestasi mampan pada suku pertama 2019 itu adalah hasil kejayaan proses penstrukturan dan pemulihan yang telah dilaksanakan sejak akhir Disember lalu.

Kedudukan kewangan TH juga semakin kukuh dengan jumlah asset melebihi liabiliti sebanyak RM1.2 bilion disumbang oleh peningkatan prestasi portfolio pelaburan serta kualiti keseluruhan asset yang sihat selepas rosot nilai dibuat pada 2018.

“Sebagai sebuah institusi yang membantu umat Islam menyimpan dan melaksanakan ibadah haji, operasi perkhidmatan pengurusan simpanan kekal lancar tanpa sebarang gangguan pada suku tersebut.

“TH merekodkan simpanan baharu sebanyak RM4.3 bilion manakala pengeluaran sebanyak RM4.6 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, TH juga akan mengambil beberapa inisiatif bagi memastikan kelancaran pengurusan haji bagi tahun 1440H/2019M dengan melaksanakan proses urusan pra-pelepasan di tanah air bagi memendekkan tempoh menunggu di Terminal Haji Jeddah dan Madinah.

Selain itu, para jemaah juga akan disediakan khemah berhawa dingin di Arafah bagi memberi keselesaan beribadah serta menangani risiko gejala kesihatan akibat cuaca panas.

TH juga akan menyediakan sebahagian sajian hidangan sedia dimakan cita rasa tempatan semasa Masyair.

Penerbangan haji pertama dijadualkan berlepas pada 4 Julai 2019 dan penerbangan akhir akan berlepas pada 4 Ogos ini. – MalaysiaGazette