Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjalan keluar untuk berehat semasa hadir pada hari ke-17 perbicaraan kes dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 14 MEI 2019.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan tahun hadapan tarikh perbicaraan kes pecah amanah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendarahaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Irwan Serigar Abdullah.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 6 Januari sehingga 9 Januari 2020 sebelum disambung kembali pada Februari, Mac dan April sekaligus menjadikan ianya tepat 52 hari bagi perbicaraan pertuduhan penyewelengan dana kerajaan lebih RM6.6 bilion.

Najib dan Irwan mengaku tidak bersalah terhadap enam tuduhan penyewelengan dan mahu dibicarakan.

Terdahulu, peguam bela, Datuk K Kumaraendran memohon tarikh yang tidak bercanggah dengan kes yang juga dihadapi oleh Najib bersama bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy berhubung pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB.

Pendakwaan kes ini dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin dan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib serta Kumaraendran bagi pihak Irwan Serigar.

Pada prosiding Januari lalu, pihak pendakwaan memaklumkan akan memanggil 70 orang saksi bagi memberi keterangan daripada 138 saksi berpotensi membantu kes terbabit.

Dalam pertuduhan itu, kedua-dua mereka yang mempunyai jawatan tertinggi dalam kerajaan didakwa melakukan kesalahan pecah amanah wang antara RM220 juta dan RM1.3 bilion.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh juga dikenakan denda.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Tan Sri Muhamad Shafee Abdullah untuk mendapatkan pasport beliau untuk sementara waktu bagi ke luar untuk hadir ke mahkamah Australia bagi mengendalikan kes jenayah berkaitan dadah.

Muhamad Shafee telah menyerahkan pasport beliau selepas didakwa atas empat kes pengubahan wang haram bernilai RM9.5 juta.

Kata Hakim Collin Lawrence Sequerah tidak ada sebarang keperluan terdesak atau alasan kuat bagi Muhamad Shafee menghadiri kes terbabit di Autralia pada masa kini jika hendak dibandingkan betapa serius kes dihadapi olehnya di sini.

Pasport milik peguam itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah susulan beliau menghadapi dua tuduhan pengubahan wang haram dan dua tuduhan mengemukakan penyata tidak betul kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pada 13 September tahun lalu, Muhammad Shafee didakwa melibatkan diri dengan pengubahan wang haram iaitu dengan menerima hasil daripada aktiviti haram, masing-masing berjumlah RM4.3 juta dan RM5.2 juta.

Peguam itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM5 juta dan penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau itu juga didakwa mengemukakan penyata tidak betul kepada LHDN yang bertentangan dengan Perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.–MalaysiaGazette