KUALA LUMPUR – FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pulih dari kerugian awal untuk ditutup di bawah paras psikologi 1,600, dengan menggantungkan harapan kepada rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS) – China selepas Presiden Donald Trump mengumumkan bahawa beliau akan bertemu Presiden Xi Jinping di Sidang Kemuncak G20, Jun depan.

Pada 5 petang hari ini, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut sebanyak 1.90 mata kepada 1,599.19, yang paling lemah sejak September 2015 selepas dibuka 20.24 mata lebih rendah pada 1,580.85.

Indeks penanda aras bergerak serendah 1,572.03 sehingga kepada setinggi 1,603.72 pada waktu siang.

Kaunter rugi melebihi kaunter untung sebanyak 488-386 dengan 381 kaunter tidak berubah, 654 tidak didagangkan dan 24 yang lain digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.82 bilion saham yang bernilai RM2.46 bilion daripada 2.48 bilion saham bernilai RM1.65 bilion semalam.

Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd, Pong Teng Siew berkata, Trump meramalkan bahawa rundingan perdagangan hanya akan berjaya jika kebimbangan ke atas perang perdagangan untuk mencapai peringkat baharu mengendur, selepas China mengenakan tarif ke atas U$60 bilion eksport AS sebagai respons kepada langkah Trump mengenakan satu lagi tarif ke atas US$200 bilion barangan dari China.

Berikutan pemulihan dalam pasaran tempatan, Pong memberitahu, pasaran dilihat akan berada pada trend yang positif untuk beberapa bulan.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, sesetengah pelabur institusi mungkin telah masuk dan menyokong pasaran.

“Masih belum dapat dipastikan sama ada kenaikan ini akan dapat dikekalkan memandangkan AS sedang menimbang untuk menaikkan lagi tarif ke atas barangan berteknologi tinggi China bernilai US$300 bilion,” katanya sambil menam,ah bahawa tahap sokongan semasa berada pada 1,596 mata.

Katanya, pelabur akan memantau tindakan balas oleh China pada masa hadapan, sama ada ia akan membabitkan langkah-langkah bukan tarif seperti penurunan nilai mata wang, menjual pegangan bon-bon Perbendaharaan AS dan memperkenalkan langkah atau peraturan yang akan menghalang perdagangan antarabangsa antara kedua-dua negara.

Di kalangan saham wajaran tinggi, Maybank jatuh dua sen kepada RM8.96, manakala Public Bank meningkat 14 sen kepada RM22.46, Tenaga naik enam sen kepada RM11.80 dan CIMB menokok empat sen kepada RM5.16.

Bagi saham yang aktif didagangkan, Bumi Armada dan Impiana adalah tidak berubah, masing-masing kekal 19 sen dan empat sen.

Ekovest naik 1.5 sen kepada 85.5 sen dan Lambo adalah satu sen lebih tinggi kepada lapan sen. – MalaysiaGazette