KUALA LUMPUR – Indeks Harga Pengeluar Perkhidmatan (IHPrP) bagi suku tahun pertama 2019 meningkat 0.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Subsektor utama yang menyumbang kepada peningkatan ini ialah Penginapan dan Aktiviti Perkhidmatan Makanan & Minuman (+2.4%), Aktiviti Hartanah (+0.9%), Pendidikan (+0.7%), Kesenian, Hiburan dan Rekreasi (+0.6%), Pengangkutan (+0.5%) dan Kesihatan (+0.4%).

Sementara itu, subsektor Profesional dan Maklumat & Komunikasi tidak berubah.

Bagi perbandingan secara suku tahunan, indeks bagi suku tahun pertama 2019 meningkat sebanyak 0.2 peratus, menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Peningkatan ini disumbangkan oleh Penginapan dan Aktiviti Perkhidmatan Makanan & Minuman (+0.8%), diikuti oleh Pengangkutan (+0.4%), Aktiviti Hartanah (+0.2%) dan Kesihatan (+0.1%).

Sementara itu, Kesenian, Hiburan dan Rekreasi menurun sebanyak 0.2 peratus, manakala subsektor Pendidikan, Professional dan Maklumat & Komunikasi adalah tidak berubah.

IHPrP Pendidikan meningkat sebanyak 0.7 peratus pada suku pertama tahun 2019 berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Peningkatan ini disumbangkan oleh indeks Pendidikan Pra-Sekolah dan Rendah (+2.0%), Pendidikan Menengah (+1.2%), Pendidikan Lain (+1.0%) dan Pendidikan Tinggi (+0.4%).

Tiada perubahan yang direkodkan bagi suku tahun pertama 2019 berbanding suku tahun sebelumnya. Bagaimanapun, indeks meningkat bagi Pendidikan Pra-Sekolah dan Rendah (+2.1%), Pendidikan Menengah (+1.2%) dan Pendidikan Lain (+1.0%). Sementara itu, indeks bagi Pendidikan Tinggi menurun 0.7 peratus. – MalaysiaGazette