Reaksi Perdana Menteri merangkap Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad berucap pada Iftar Parti Pribumi Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 14 MEI 2019

PUTRAJAYA – Semua ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diingatkan sekali lagi bahawa perjuangan parti itu adalah demi bangsa, agama dan negara.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, penubuhan parti itu bukannya bersandarkan kepada mengejar jawatan dan kuasa semata-mata.

Beliau berkata, ada individu yang datang berjumpa dengannya sambil meluahkan rasa kecewa kerana tidak dapat jawatan.

“Ramai ahli parti rasa kecewa kerana kemenangan parti dalam pilihan raya umum lalu tak beri sesuatu kepada mereka… ada yang dapat menjadi menteri, timbalan menteri dan macam-macam jawatan.

“Ada yang kecewa apabila berhempas pulas jatuhkan kerajaan kleptokrasi, tetapi tidak dapat apa-apa layanan.

“Tetapi saya percaya kalau kita jadi parti yang bersih, rakyat akan memberikan sokongan kepada kita dan negara akan jadi lebih maju dan pada akhirnya dapat sesuatu bagi diri kita,” katanya ketika berucap sempena Majlis Iftar Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), sebentar tadi.

Mengiringi Dr Mahathir adalah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan barisan kepimpinan Bersatu.

Beliau memberitahu, kerajaan tidak boleh menyalahgunakan kuasa untuk memberi kekayaan dan tempat tertentu untuk penyokong-penyokong mereka.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir turut mengingatkan kepimpinan Bersatu Sabah yang dilantik supaya terus menjaga imej parti tersebut.

“Parti ini adalah parti yang berkorban untuk bangsa dan negara. Maha perlulah menahan hati dan tidak melakukan sesuatu yang memburukkan imej negara kita,” katanya lagi.

Bersatu Sabah hari ini menerima pelantikan baharu 25 ketua bahagian selepas melebarkan sayap ke Sabah pada 6 April lalu. -MalaysiaGazette