Kementerian Kesihatan

PETALING JAYA – Kementerian Kesihatan menyasarkan “pendigitalan” secara menyeluruh di hospital-hospital kerajaan dalam tempoh tiga tahun.

Kejayaan proses itu antaranya akan membolehkan proses rawatan berlaku tanpa kehadiran doktor.

Sinchew Daily melaporkan, dalam kes kecemasan, doktor boleh memberi tunjuk ajar kepada pembantu rawatan di tempat kejadian dan maklumat kesihatan pesakit juga boleh disalurkan kepada doktor secara digital.

Selain itu, pesakit juga boleh mendapatkan rundingan daripada doktor melalui proses audio visual.

“Ambulans juga akan dilengkapkan dengan kemudahan Sistem Kedudukan Sejagat (GPS),” kata Timbalan Menteri Kesihatan, Lee Boon Chye.

Beliau berkata, proses “pendigitalan” itu merupakan projek mega yang memakan belanja RM2 bilion hingga RM3 bilion.

“Semua rekod pesakit akan wujud dalam bentuk digital dan boleh dikongsi antara hospital awam, malahan hospital swasta,” katanya.

Boon Chye berkata, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang sedang melaksanakan “pendigitalan” manakala Hospital Ipoh sedang melakukannya secara berperingkat.

Selain proses “pendigitalan” , kerajaan sedang menumpu kepada empat isu penting membabitkan hospital-hospital kerajaan.

Jelas Boon Chye, isu tersebut termasuk masalah kekurangan tempat meletak kenderaan, masa menunggu jumpa doktor yang lama, masa temu janji dengan pakar yang perlu diatur sehingga beberapa bulan lebih awal serta masalah kesesakan dalam hospital.

“Masalah-masalah ini bukan mudah diatasi, tetapi kami berharap tahap masalah ini sekurang-kurangnya dapat dikurangkan.

” Hakikatnya, isu-isu ini juga masalah yang dititikberatkan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette