Reaksi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semasa sidang media pada Majlis Pelancaran myPortfolio Panduan Kerja Sektor Awam di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 14 MEI 2019

PUTRAJAYA – Peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melarang penjawat awam termasuk jemaah menteri berkempen semasa waktu bekerja dan tidak boleh menggunakan aset kerajaan hanya memberi kelebihan kepada parti pembangkang.

Menyifatkan peraturan tersebut sebagai bukan sesuatu yang bagus, Tun Dr Mahathir berkata, perkara itu jelas kerana parti pembangkang sememangnya tidak mempunyai sebarang kerja, justeru mereka boleh berkempen 24 jam.

Kata Perdana Menteri, keadaan itu sudah pasti memberi kesan kepada kerajaan pakatan harapan setiap kali pilihan raya kecil diadakan kerana mereka tidak dapat berkempen memandangkan waktu kerja mereka berlarutan sehingga lewat malam.

“Kita dapati bahawa ada arahan supaya pegawai kerajaan, menteri dan timbalan tidak boleh berkempen masa berkerja jadi mereka masa kerja mesti ada dalam pejabat dan tidak boleh kempen sedangkan lepas waktu kerja menteri kerja juga.

“Sekatan terhadap menteri seolah-olah memberikan peluang kepada parti lawan yang tidak kerja apapun dan mereka boleh berkempen 24 jam,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan myPortfolio Pandan Kerja Sektor Awam di Bangunan Perdana Putra, hari ini.

Dr Mahathir turut mengulas mengenai peraturan SPR mana-mana pemimpin kerajaan tidak boleh menggunakan aset kerajaan ketika berkempen yang menurut beliau perlu dikaji semula.

“Ini saya rasa sekatan yang tidak bagus. Saya juga sebagai Perdana Menteri tidak boleh guna aset kerajaan dan segala kemudahan kerajaan semasa saya berkempen di Cameron Highlands.

“Saya kena sewa helikopter swasta untuk pergi ke tempat kempen dan kereta milik sendiri terpaksa dibawa untuk berkempen.

“Ini adalah sekatan yang luar biasa sebab biasanya jemaah menteri pun bekerja di luar waktu kerja,” katanya.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun sebelum ini berkata adalah menjadi kesalahan dibawah Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 sekiranya mana-mana pemimpin didapati menggunakan aset kerajaan untuk turun berkempen.

Dalam pada itu, Dr Mahathir melahirkan rasa syukur dengan penerimaan pihak PDRM kepada penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

Dr Mahathir berkata beliau percaya dengan penubuhan suruhanjaya itu imej malah kebajikan polis juga akan dapat dibela.

“Bagi anggota polis yang tidak melakukan kesalahan, saya rasa tidak ada yang perlu dikhuatirkan,” katanya lagi.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata polis secara prinsipnya bersetuju dengan penubuhan IPCMC dengan ‘syarat’ kerajaan memberi jaminan tidak menghakis kuasa polis.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Pusat Governans Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC), Abu Kassim Mohamed berkata suruhanjaya itu tidak mencampuri tugas Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard PDRM. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast