Laman Facebook Nga Kor Ming Super Fans Page yang menyindir Wee Ka Siong.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Wee Ka Siong kehadirannya dalam majlis sambutan ulang tahun ke-73 UMNO baru-baru ini kerana dijemput bagi memeriahkan majlis.

Menurutnya, pemimpin MCA dan MIC hadir sebagai salah satu daripada tiga komponen Barisan Nasional (BN).

Ka Siong berkata, lantaran itu tidak timbul mengapa beliau tidak diajak bersama untuk upacara memotong kek ulang tahun UMNO.

“Ini merupakan Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-73 UMNO, apakah logiknya puak DAP sampai perlu menjemput pemimpin MCA atau parti lain untuk upacara memotong kek ulang tahun UMNO? Ini upacara khas untuk parti UMNO dan para pemimpin parti lain cuma dijemput bagi memeriahkan majlis,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau mengulas sindiran laman Facebook Nga Kor Ming Super Fans Page yang menggunakan sekeping gambar dan menyindirnya tidak dijemput untuk memotong kek dalam acara itu.

Gambar itu berserta kapsyen – MCA, sida-sida seumur hidup!.

Presiden MCA itu berkata, bahasa yang digunakan oleh “super fans” Timbalan Speaker Dewan Rakyat itu terlalu kasar dan secara tidak langsung menghina pihak penganjur.

Namun, katanya, inilah budaya DAP yang perlu dikecam.

“Apa dosa saya menghadiri Majlis Ulang Tahun UMNO ke-73? Pemimpin MCA dan MIC hadir ke majlis tersebut atas jemputan penganjur iaitu UMNO yang merupakan salah satu daripada tiga parti komponen BN. Kenapa puak DAP perlu menyindir kononnya saya tidak diajak untuk upacara memotong kek Ulang Tahun UMNO?

“Tak tahu apa lagi nak dikata tentang puak DAP ini. Adakah mereka bodoh atau bangang?,” ujarnya. – MalaysiaGazette