Saksi, Naib Presiden Jabatan Undang-Undang dan Kesetiausahaan KWAP, Azlida Mazni Arshad hadir untuk perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kes dana SRC International Sdn Bhd di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 13 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Seorang saksi mengakui seseorang yang berjawatan tinggi seperti perdana menteri atau menteri kewangan tidak mempunyai sebarang kuasa untuk melulusan pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Azlida Mazni Arshad yang merupakan  bekas Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Sokongan Pelaburan KWAP juga memberitahu Mahkamah Tinggi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebenarnya tidak pernah memberi arahan berhubung pinjaman RM2 bilion dari SRC International.

Kata Azlida, Najib yang ketika itu merupakan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan hanya meletakan ‘nota’ sekadar meminta perhatian tentang permohonan pinjaman itu dan bukannya memberi arahan bagi memastikan kelulusan.

Namun keterangan terbaru ini agak menghairankan kerana ketika memberi keterangan Khamis lepas, saksi ada memberitahu Najib telah meminta KWAP untuk mempercepatkan proses pinjaman tersebut.

Ketika sesi soal balas antara peguam bela bagi perbicaraan hari ke-17, Harvinderjit Singh sebentar tadi yang mahu mendengar dengan lebih jelas dan terperinci tentang penglibatan Najib, Azlida memberitahu Najib tidak mempunyai kuasa dalam memastikan kelulusan dikeluarkan oleh KWAP.

Harvinderjit juga bertanya kepada Azlida adakah pada bila-bila masa ahli panel pelaburan KWAP menyatakan mereka tidak mempunyai pilihan lain selain daripada meluluskKWAPan pinjaman kepada SRC dan ianya telah di rekodkan dalam minit mesyuarat.

Bagaimanapun, kata Azlida penyataan tersebut tidak ada direkodkan dalam minit mesyuarat.

Azlida juga berkata panel pelaburan KWAP tidak terikat dengan arahan seseorang atau satu badan dalam urusannya pada bila-bila masa.

Terdahulu, Harvinderjit juga ada meminta penjelasan Azlida tentang peranan jabatan pendapatan KWAP serta bagaimana proses untuk kelulusan tersebut selain daripada adakah pihak itu boleh membuat bantahan untuk pinjaman dana sebelum mendapat kelulusan.

Azlida mengangguk dan mengatakan jabatan tersebut boleh melakukan sedemikian.

“Tidak ada paksaan dan adakah anda setuju jika dipaksa menandatangani maka mereka berhak membuat laporan polis tentang perkara itu,” soal Harvinderjit.

“Ya betul,” kata Azlida pada prosiding perbicaraan pertuduhan penyelewengan dana SRC International di sini. –MalaysiaGazette