Anwar Ibrahim
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Konvensyen Belia Kebangsaan 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK 15 MEI 2019

BANGI – Kepimpinan Pas digesa untuk menjawab isu ‘kartel dedak’ yang dibangkitkan menantu Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Zaharuddin Muhammad.

Menurut Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu ini sudah diketahui umum dan rakyat, malah ahli Pas perlu menuntut agar satu penjelasan dibuat dan bukannya menyorok hal yang sebenarnya.

“Ia bertentangan dengan apa yang diucapkan bahawa dalam seseorang tokoh itu harus hidup dalam sederhana tidak harus ambil wang yang dicurigai sumbernya sahihnya halal haramnya.

“Oleh yang demikian ada keperluan dan saya percaya pimpinan Pas boleh teliti supaya beberapa tuduhan yang agak keras dan berat yang dilemparkan itu harus dijawab oleh pihak yang berkenaan supaya masyarakat awam dapat mengetahui apa yang sebenarnya berlaku,” katanya kepada media hari ini.

Ulas Anwar, tuduhan terhadap Pas itu adalah serius dan rakyat perlu mendesak agar parti memberikan penjelasan mengenai tuduhan Zaharuddin.

“Saya fikir pandangan tentang arahan Pas untuk tidak membicarakan soal kartel dedak dan sebagainya, itu hak pimpinan Pas menentukannya,” ujar beliau.

Semalam, Pas mengeluarkan arahan bagi menghalang semua ahlinya membincangkan isu dalaman parti kepada umum.

Arahan itu dikeluarkan Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan sehari selepas pendedahan yang dibuat oleh Zaharuddin.

Bekas ahli Majlis Syura Ulama itu mendedahkan lima nama pemimpin Pas didapati terbabit dengan ‘kartel dedak’ berhubung penerimaan wang jutaan ringgit daripada UMNO.

Bagaimanapun, Zaharuddin cuma hanya memberikan singkatan dan bayangan bagi nama kelima-lima individu yang didakwa terlibat dalam kumpulan kartel dedak tersebut.

Menerusi catatan di Facebook beliau, Zaharuddin menyenaraikan individu terlibat sebagai Dr Husam II (kepala nombor 1), Mr NT, Mr KT, Mr KH dan nama terakhir sebagai ‘semua dah tahu’. -MalaysiaGazette