Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim (tengah) bersama Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador (enam kiri) dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor (enam kanan) serta yang lain bergambar kenangan pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara dan Naib Pengerusi PERKEP Malaysia di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 15 MEI 2019

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Saiful Azly Kamaruddin dipilih menerajui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berkuat kuasa hari ini.

Beliau diangkat sebagai Pemangku Pengarah JSJK Bukit Aman dalam satu majlis istiadat rasmi Polis Diraja Malaysia di Mess Pegawai Kanan Bukit Aman hari ini.

Jawatan itu diserahkan kepada Saiful Azly mengikut protokol rasmi PDRM oleh penyandangnya, Datuk Mazlan Mansor termasuk tongkat kuasa jawatan itu dengan disaksikan oleh Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador hari ini.

Terdahulu Mazlan menerima tugas Timbalan Ketua Polis Negara secara rasmi berkuatkuasa hari ini daripada Abdul Hamid yang memangku jawatan itu menggantikan Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang telah bersara pada 17 Mac lalu .

Beliau turut dipakaikan pangkat Timbalan Ketua Polis Negara oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Alwi Ibrahim.

Mazlan, 58, pernah menjawat beberapa jawatan termasuk Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor; Ketua Polis Negeri Melaka; Pesuruhjaya Polis Sarawak dan Ketua Polis Selangor.

Beliau kemudian dilantik sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Komersial (JSJK) Bukit Aman, 29 Januari lalu selepas persaraan penyandangnya Datuk Seri Amar Singh.

Turut diadakan, upacara serah terima tugas Naib Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di antara Pengerusi PERKEP Malaysia, Datin Seri Norazrin Marzuki dengan Datin Farihah Mohd Zamri disaksikan isteri Alwi, Datin Seri Roba’ Aisyah Mohd Ghazali.

Abdul Hamid dalam ucapan berkata, beliau menaruh sepenuh keyakian dan kepercayaan kepada Mazlan dan seluruh kepimpinan tertinggi pasukan memikul tanggungjawabnya.

“Saya yakin pelantikan ini dibuat secara bijaksana dengan menggunakan kanta yang menghalusi segenap aspek pertimbangan kredibiliti dan pengalaman serta kepimpinan berkarisma yang dimiliki Mazlan.

“Saya menyeru seluruh warga PDRM mengukuhkan iltizam an memahat nawaitu dan terus bekerja dengan telus dan amanah sejajar dengan tema sambutan Hari Pekerja 2019 iaitu ‘ Pekerja Amanah Aspirasi Negara’,” katanya.- MalaysiaGazette