Felcra
Ketua Pegawai Eksekutif FELCRA Berhad, Mohd Nazrul Izam Mansor.

KUALA LUMPUR- Felcra Bhd. akan membuat bayaran akhir keuntungan projek bagi 2018 berjumlah RM18.042 juta kepada 37,866 pesertanya secara berperingkat bermula hari ini.

Jumlah agihan tersebut diperolehi daripada keuntungan 404 ladang penyatuan dan pemulihan milik peserta yang dimajukan oleh agensi tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Nazrul Izam Mansor, bayaran akhir tersebut melengkapkan pembayaran keuntungan tahunan yang diagihkan sebanyak tiga peringkat setahun iaitu interim pertama sewaktu sambutan Aidilfitri, interim kedua dibayar semasa mula musim persekolahan dan agihan akhir ketika akaun projek ditutup.

Tambahnya, jumlah keseluruhan keuntungan boleh diagih bagi 2018 adalah sebanyak RM111.505 juta merangkumi RM36.162 juta untuk interim pertama, RM24.323 juta (interim kedua) dan RM18.042 juta (bayaran terakhir).

Ia juga turut merangkumi Agihan Keuntungan Bulanan sebanyak RM32.98 juta yang dibayar kepada sesetengah projek yang mengamalkan agihan bulanan.

“Walaupun berhadapan dengan cabaran keadaan pasaran dan penurunan harga komoditi, Felcra masih boleh membayar sejumlah agihan yang disebutkan di atas kepada peserta-pesertanya.

“Faktor penurunan jumlah agihan ini adalah didorong oleh kejatuhan ketara harga sawit yang merekodkan harga pada kadar RM458 setan metrik bagi tahun 2018 berbanding RM602 setan metrik tahun sebelumnya, merosot sebanyak 23 peratus atau RM144 setan metrik.

“Selain itu, harga minyak sawit mentah dunia turut memperlihatkan kejatuhan iaitu RM2,237 setan metrik bagi tahun 2018 berbanding RM2,800 setan metrik bagi tahun 2017 iaitu pengurangan sebanyak RM563 setan metrik atau 20 peratus.

“Namun begitu, pasukan kerja Felcra tetap melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan purata produktiviti ladang sentiasa berada pada tahap optimum, supaya dapat mengimbangi senario kejatuhan harga komoditi ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.- MalaysiaGazette