Mangsa pemerdagangan manusia dibawa keluar daripada lori perkhidmatan pos.

BANGKOK – Pengendali perkhidmatan pos, Thailand Pos, memecat seorang pekerjanya kerana didapati menggunakan sebuah van milik syarikat untuk menyeludup 13 pendatang asing yang tidak mempunyai dokumen perjalanan.

Thanachai Mungtim, 34, ditangkap malam semalam selepas polis menahannya di pusat pemeriksaan di Satun dan menemui pandatang tanpa izin warga Myanmar menyorok di bahagian belakang kenderaan itu.

Polis mengesyaki Thanachai cuba menyeludup manusia yang kini merupakan satu wabak di sempadan Thailand.

Menurut kenyataan Thailand Post, syarikat telah memecat Thanachai kerana ‘pelanggaran undang-undang dan disiplin yang serius’ dan menawarkan kerjasama penuh terhadap siasatan polis.

‘Thailand Post sedar tentang seriusnya isu penyeludupan manusia,”

Polis tempatan berkata, Thanachai mengaku dia telah dibayar untuk mengambil pendatang itu dari sempadan Myanmar di Kanchanaburi dan membawa mereka ke wilayah Songkla di selatan negara itu. Mereka akan diserahkan kepada seorang broker yang tidak dikenalpasti.

Menurut polis, Thanachai memberitahu dia dibayar 1,500 Baht untuk setiap pendatang tanpa izin itu. Thanachai juga memberitahu polis bahawa dia menyangka penggunaan van penghantaran surat tidak akan menarik perhatian pihak berkuasa.

Dia didakwa kerana membantu kemasukan pendatang tanpa izin ke negara itu, namun para penyiasat berkata, dakwaan tambahan menyeludup manusia mungkin difailkan jika terdapat bukti.

Sejak 2015, kerajaan tentera telah memerangi penyeludup manusia yang secara rutin melakukan aktiviti itu dari negara jiran untuk dijual sebagai buruh paksaan.

Usaha kerajaan itu menyaksikan penemuan ‘kem kematian’ yang ditemui pada tahun sama di selatan negara tersebut, yang mana pendatang tanpa izin ditahan dalam keadaan yang mengerikan ketika mereka menanti tuan baharu ataupun wang tebusan daripada keluarga mereka.

Berpuluh-puluh pendatang tanpa izin mati dalam tahanan kerana kelaparan, penderaan dan penyakit. – Agensi