Salahuddin Ayub. foto SYAFIQ AMBAK, 15 MEI 2019

PUTRAJAYA – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) memberi jaminan bekalan makanan mencukupi sepanjang musim perayaan Aidilfitri, Pesta Kaamatan dan Hari Gawai yang akan diraikan pada hujung Mei sehingga awal Jun ini.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, MOA telah membuat tempahan stok makanan utama 10 peratus lebih tinggi pada tahun ini berbanding tahun lepas bagi memastikan bekalan mencukupi dan harga tidak melambung ketika musim perayaan.

Jelasnya, kementerian menganggarkan bekalan daging lembu dan kerbau (tempatan dan import) adalah sebanyak 24, 000 metrik tan manakala bekalan ayam tempatan adalah sebanyak 142,000 metrik tan untuk tempoh sebulan sepanjang musim perayaan ini.

Bekalan telur ayam pula adalah sebanyak 800 juta biji, ikan pelbagai spesis sebanyak 20,000 metrik tan, ikan segar beku QFish (pelbagai spesis) sebanyak 145 metrik tan, kobis bulat sebanyak 9,200 metrik tan dan kelapa biji sebanyak 28.6 juta biji.

“Kementerian juga telah memberikan Permit Import (AP) kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk mengimport kobis bulat dan kelapa bagi bekalan sepanjang musim perayaan ini” katanya semasa sidang media bersama Kementerian Perdagangan Hal Ehwal Pengguna di sini hari ini.

Tambah Salahuddin, MOA juga akan menganjurkan jualan Jimat Belanja Aidilfitri di pasar tani-pasar tani terpilih di seluruh negara lima hari sebelum hari raya.

Ini bagi membolehkan orang ramai membeli bahan-bahan makanan pada harga yang lebih murah.

Selain itu, bekalan makanan juga boleh didapati melalui outlet sedia ada di bawah kementerian seperti pasar tani, MyFarm Outlet, Pasar Komuniti, Agrobazar Rakyat, My Best Buy, Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dan Gerai Buah-Buahan Segar (GBBS) dan pasar nelayan, katanya. -MalaysiaGazette