Tidak ada langsung garis masa “2 tahun” transisi perletakan jawatan dalam dokumen yang ditandatangani oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan.

BANGI – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersetuju untuk melantik seorang Senator dalam kalangan belia bagi meningkatkan suara anak muda dalam membuat keputusan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, cadangan itu difikirkan perlu memandangkan belia kini mempunyai kepakaran luas dalam bidang-bidang tertentu dan isu-isu mengenai pembangunan belia.

“Saya cadang supaya pelantikan tersebut di buat dalam masa terdekat dan supaya calon yang sesuai dilantik ke jawatan Senator,” kata Dr Mahathir ketika merasmikan Majlis Hari Belia Negara di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM, hari ini.

Mengulas lanjut Dr Mahathir berkata kerajaan akan terus memberikan fokus dan keutamaan dalam membangunkan generasi muda melalui pelbagai inisiatif akan terus dilaksana dan diperkukuh di masa akan datang.

“Atas kepercayaan dan kesetiaan anak muda dalam memberi ruang kerajaan baharu memimpin negara pada hari ini.

“Kita akan pastikan suara anak muda akan sentiasa diberi perhatian dan diambil kira dalam setiap proses keputusan Kerajaan di semua peringkat – daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.

Idea untuk melantik seorang Senator dalam kalangan belia diketengahkan Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha tahun lalu.

Jufitri menjelaskan penting untuk belia mempunyai suara di Parlimen agar isu berkaitan golongan itu mendapat perhatian sewajarnya daripada pihak kerajaan.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata lebih daripada RM50 juta akan diperuntukkan bagi tahun 2019 dan 2020 untuk pelaksanaan program Youth Power.

Peruntukan ini termasuklah RM 7.4 juta untuk 2019 bagi menggerakkan Youth Power Club di 222 buah kawasan di seluruh negara.

“Peruntukan berbentuk geran untuk Youth Power ini boleh dimohon oleh semua persatuan berdaftar termasuk mereka yang belum pernah mendapat bantuan peruntukan dari kerajaan sebelum ini,” katanya lagi.

Selain itu, RM100 juta dana khas diperuntukkan pada tahun 2020 bagi meluaskan akses kepada kemudahan sukan dan rekreasi kepada semua anak muda luar bandar. -MalaysiaGazette