KUALA LUMPUR – Keadaan pekarangan kompleks yang tenang dan kurang sibuk selain daripada persekitaran biasa wajah-wajah pengamal undang-undang ‘kecoh’ sebentar apabila kereta Perdana TN 50 berwarna hitam milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di kompleks itu.

Najib yang tiba jam 8.55 pagi tadi tampil berkot coklat dengan bertali leher keemasan seperti biasa disapa penyokong dan orang awam.

Malah ada juga teruja dengan memanggilnya ‘Bossku’ selain terus mengiringi beliau sehingga ke lif sambil telefon bimbit masing-masing terus merakamkan gambar beliau.

Hari ini merupakan hari ke-18 perbicaraan kes SRC International yang melibatkan penyelewengan dana sebanyak RM42 juta yang dikaitkan dengan Najib ketika masih menjawat jawatan nombor satu negara ketika itu.

Peguambela, Harvinderjit Singh menyambung soal balas dengan saksi ke-35, Naib Presiden Jabatan Undang-undang dan Kesetiausahaan KWAP, Azlida Mazni Arshad berhubung pinjaman sebanyak RM2 bilion serta penglibatan Najib dalam memastikan pinjaman itu disalurkan kepada SRC International.

Najib1Semalam, Azlida mengakui seseorang yang berjawatan tinggi seperti Perdana Menteri atau Menteri Kewangan tidak mempunyai kuasa untuk melulusan pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Azlida yang merupakan  bekas Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Sokongan Pelaburan KWAP juga memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Najib tidak pernah memberi arahan berhubung pinjaman RM2 bilion dari SRC International.

Khamis lepas, Azlida memberitahu Mahkamah Tinggi ketika disoal pihak pendakwaan bahawa Najib cuba mempercepatkan pinjaman tersebut namun semalam beliau mengakui Ahli Parlimen Pekan itu hanya sekadar memberikan nota dan bukan memberi arahan bagi pinjaman tersebut kepada KWAP.

Azlida juga mengakui beliau tidak ada dalam mesyuarat ketika barisan panel pelaburan KWAP berbincang tentang Najib termasuk tindakan cuba mempercepatkan pinjaman tersebut seperti yang didakwa.

Perbicaraan bersambung pada 9.15 pagi tadi di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/14/tandatanya-penggubahan-wang-haram-salah-guna-kuasa-najib-berterusan/