Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah

KUALA LUMPUR – Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah membayangkan peralihan jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi kenyataan.

Dalam nada sinis, bekas Menteri Kewangan itu tidak mahu peralihan tersebut menjadi lebih teruk daripada perumpamaan pisang berbuah dua kali.

“Itu kena tanya Tun sendirilah. Banyak kali berlaku.

“Ini bukan pisang, pisang berbuah dua kali,” katanya kepada media selepas majlis berbuka Majlis Perundingan Melayu di sini hari ini.

Ahli Parlimen Gua Musang itu diminta mengulas sama ada Dr Mahathir akan mengotakan janji untuk menyerahkan jawatannya kepada Anwar seperti yang ditetapkan.

Dalam ketetapan yang telah dipersetujui sebelum ini, Dr. Mahathir akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar selepas dua tahun, iaitu pada Mei 2020.

Anwar hari ini menjelaskan bahawa tarikh untuk beliau mengambil alih tampuk pemerintahan Pakatan Harapan (PH) tidak perlu menjadi persoalan kepada umum.

Ini kerana katanya, ia terpulang kepada Dr Mahathir untuk mengadakan pertemuan dengannya mengenai peralihan kuasa itu. – MalaysiaGazette