Plain of Jars. Foto Agensi

VIENTIANE – Plain of Jars, atau Dataran Tempayan, di wilayah tengah Xieng Khuang di Laos akan disenarai sebagai Tapak Warisan Dunia negara itu yang ketiga, lapor agensi berita China Xinhua memetik akhbar harian tempatan Vientiane Times.

Plain of Jars dijangka menjadi tarikan pelancong yang lebih besar jika dinamakan sebagai Tapak Warisan Dunia di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) apabila badan dunia itu bermesyuarat di Azerbaijan dari 30 Jun hingga 7 Julai, kata seorang pegawai Laos seperti dilaporkan akhbar itu pada Rabu.

Laos telah berusaha selama 20 tahun untuk menyenaraikan Plain of Jars, atau lebih dikenali sebagai Thong Hai Hin oleh penduduk tempatan, sebagai Tapak Warisan Dunia.

Cadangan Warisan Dunia Plain of Jars membabitkan 11 lokasi berasingan di mana tempayan batu berada dalam daerah-daerah Paek, Phaxay, Phoukoud dan Kham, kira-kira 180 kilometer di timur laut Vientiane.

Tempayan misteri itu diperbuat daripada batu pasir dan granit dengan pelbagai saiz. Ia dikatakan berusia lebih 2,000 tahun.

Plain of Jars terdiri daripada kira-kira 80 tapak yang berbeza namun hanya 11 dimasukkan dalam senarai kerana memiliki jumlah tempayan batu yang paling banyak.

Laos menerima pengiktirafan UNESCO bagi Tapak Warisan Dunianya yang pertama pada 1995 apabila pekan purba Luang Prabang disenaraikan.

Kali kedua ialah pada 2001 apabila kompleks kuil Vat Phou di wilayah Champassak diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan