Antara dokumen dan bahan bukti yang dibawa pada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd membabitkan dana RM42 juta di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 22 APRIL 2019.

KUALA LUMPUR – Saksi ke-37, bekas Pengarah Urusan Ihsan Perdana, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman mendedahkan beliau langsung tidak tahu menahu sumber dana RM40 juta yang diterima syarikatnya.

Malah, Shamsul berkata, beliau juga langsung tidak mengetahui bahawa akaun Ambank yang bernombor akhir 906 dan 880 adalah milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau juga mengakui telah memberi kebenaran untuk membuat tidak pemindahan wang dari syarikatnya ke akaun tersebut iaitu sebanyak RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta bagi tempoh di antara Dis 2014 dan Feb 2015 tanpa mengetahu siapa pemilik akaun.

Kata Shamsul Anwar yang juga merupakan bekas Pengarah Eksekutif 1MDB sebelum menerajui Ihsan Perdana, seandainya beliau tahu pemindahan wang itu untuk akaun Datuk Seri Najib Razak, beliau tidak akan melakukannya.

“Saya anggap pemindahan wang itu untuk tujuan CSR. Jika saya tahu itu adalah akaun Najib, saya tidak akan lakukan pindahan tersebut.

“Saya juga ada meminta Aishah Ghazali untuk menyemak pemilik akaun tersebut selepas itu.

“Najib sendiri tidak pernah pula menghubungi saya dan bertanyakan tentang pemindahan wang itu ke akaun beliau mahupun memberikan arahan untuk memindahkan wang kepada beliau,” terangnya.

Ketika disoal bagaimana beliau membiarkan sahaja pemindahan dilakukan tanpa mengetahui siapa pemilik akauan itu, kata Shamsul Anwar, beliau ada bertanyakan kepada wakil Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), Ung Su Ling namun tidak pernah diberikan jawapan.

“Saya telah banyak kali bertanyakan kepada Ung sama ada ketika bersemuka atau melalui telefon siapakah pemilik akaun Ambank itu selain daripada sumber dana mana yang disalurkan kepada Ihsan Perdana namun tidak pernah memberikan jawapan kepada saya

“Saya hanya mengetahui kebenaran itu melalui akhbar seperti Wall Street Journal tentang pindaan itu. Mungkin juga Ung telah menerima arahan itu melalui Allyarham Datuk Azlin Alias,” katanya.

Azlin Alias merupakan bekas Setiausaha Politik yang maut dalam insiden helikopter terhempas pada April 2015. – MalaysiaGazette