SAN FRANCISCO – Lembaga Penyelia Bandaraya San Francisco mengundi lapan lawan satu bagi cadangan untuk mengharamkan pembelian dan penggunaan teknologi pengecaman wajah oleh kerajaan tempatan dalam satu usaha untuk mengawal selia peralatan yang dibantu dibangunkan oleh syarikat-syarikat di Lembah Silikon.

Ordinan itu turut meminta jabatan perbandaran untuk menyerahkan dasar-dasar teknologi pemantauan bagi saringan awam.

Keputusan akan dimuktamadkan selepas pusingan kedua pengundian dilaksanakan ke atas pegawai-pegawai yang sama minggu depan, lapor Reuters.

Langkah tersebut meletakkan San Francisco di barisan hadapan dalam menghalang penggunaan teknologi pengecaman wajah di Amerika Syarikat.

Agensi-agensi kerajaan telah menggunakan teknologi tersebut sejak bertahun-tahun lalu dan kini ia menjadi lebih berkuasa dengan teknologi-teknologi pengkomputeran awan dan kepintaran buatan (AI).

“Kami mempunyai tanggungjawab asas untuk melindungi orang awam daripada diganggu,” kata penyelia bandaraya yang mengetuai kempen pengharaman teknologi tersebut, Aaron Peskin.

Menurut Peskin, ordinan berkenaan bukan dasar anti teknologi kerana ia membenarkan penggunaan peralatan pemantauan yang telah digunakan sebelum ini seperti kamera keselamatan.

Peguam Daerah atau syerif boleh membuat permohonan untuk menggunakan teknologi-teknologi yang tidak dibenarkan mengikut keadaan tertentu.

Bagaimanapun, matlamat utama mereka adalah untuk melindungi “kumpulan terpinggir” yang mungkin akan terjejas disebabkan oleh teknologi berkenaan.

Amazon.com Inc contohnya, telah berada di bawah pemantauan sejak tahun lepas kerana menjual perkhidmatan analisis imej dan pengenalan kepada penguatkuasa undang-undang.

Para penyelidik memberitahu, perkhidmatan tersebut sukar untuk mengenal pasti jantina individu-individu yang mempunyai kulit yang lebih gelap dan sekali gus mungkin menyebabkan penangkapan yang tidak adil.

Amazon bagaimanapun mempertahankan kerja mereka itu dengan mengatakan semua pengguna perlu mematuhi undang-undang.- Agensi

Tinggalkan Jawapan