Abdul Hamid Bador
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdul Hamid Bador menyatakan kesediaannya untuk berjumpa dengan bekas pegawai polis berpangkat Asisten Komisioner, Md Ali Amir Batcha yang mendakwa dirinya telah dianiaya oleh pasukannya apabila dijadikan sebagai tahanan tanpa bicara dibawah Ordinan Darurat (EO) pada 1997.

Ketua Polis Negara (KPN) berkata, beliau akan memberi perhatian sewajarnya kepada perkara yang dibangkitkan bekas anggota Jabatan Siasatan Jenayah D9 itu.

“Saya akan memberi perhatian sejawaranya kepada perkara ini. Insya-Allah saya akan panggil dia datang berjumpa dengan saya untuk mendengar apa isunya lagi walaupun perkara tersebut berlaku sekian lama.

“Tapi daripada penampilan-penampilan beliau di dalam (khalayak umum-media) jelas menunjukkan bahawa dia yakin bahawa dia tak bersalah,” katanya dalam sidang media selepas majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Negara dan pemakaian pangkat kepada Datuk Mazlan Mansor.

Beliau menyatakan demikian menjawab ketika ditanya mengenai siasatan terhadap aduan Md Ali Amir yang mendakwa dirinya menjadi mangsa konspirasi apabila dikenakan tuduhan palsu yang menggunakan ‘saksi hantu’ oleh Unit Siasatan Dalaman berhubung salah laku rasuah di agensi itu.

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, berdasarkan rekod Polis Diaja Malaysia (PDRM) kes berkenaan dibela dan diadili sebaik-baiknya.

“Dalam kes beliau saya ambil sikap terbuka mendengar apa juga yang nak sampaikan, mungkin beliau ada perkara-perkara baharu untuk dibangkitkan dalam hal ini,” katanya. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/blog/2019/05/06/bekas-polis-dianiaya-minta-kdn-tubuh-tribunal-khas/