Anwar Ibrahim
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media pada Konvensyen Belia Kebangsaan 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK 15 MEI 2019

BANGI – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan agar Pakatan Harapan (PH) mengadakan satu pertemuan dengan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizah Harun mengenai sekatan berkempen kepada jemaah menteri pada waktu kerja.

Ujarnya, beliau bersetuju dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa sekatan itu memberikan kelebihan kepada pembangkang untuk berkempen pada bila-bila masa.

“Secara amnya kita harus jelas mengenai ini walaupun saya fikir pendapat PM adalah bahawa ini seolah-olah tidak dibenarkan kerana ada kelemahan.

“Saya fikir perlu ada satu proses atau prosedur yang boleh dianggap adil (kepada semua pihak). Maka harus terbuka kerana menteri boleh berkempen di luar waktu kerja. Namun juga mahu berkempen di waktu kerja, mereka kena ambil cuti,” katanya selepas merasmikan Konvensyen Belia Kebangsaan 2019 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Ahli Parlimen Port Dickson itu menjawab pertanyaan media mengenai kenyataan Dr Mahathir yang tidak puas hati dengan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang melarang anggota kabinet menjalankan aktiviti kempen ketika waktu bekerja pada pilihan raya.

Semalam, Dr Mahathir berkata keputusan itu akan memberi kesan kepada pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selain seolah-olah memberi kelebihan kepada pembangkang yang tidak mempunyai kerja, untuk berkempen selama 24 jam.

Anwar turut ditanya mengenai pelaksanaan kerajaan PH yang mahu pengisytiharan harta diperluaskan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Jelas Anwar, ia satu cadangan yang baik dalam memperlihatkan bahawa kerajaan telus dalam menangani rasuah dalam kalangan ahli politik.

“Pembangkang juga yang selalu bangkit hal yang sedemikian saya fikir patut memberikan sokongan yang jelas bagi cadangan ini

“Kita akan kemukakan juga di parlimen supaya by partisan mencadangkan satu peraturan yang agak lebih jelas memberi ruang kepada semua Ahli Parlimen mengisytiharkan harta,” katanya lagi.

Dr Mahathir berkata, Ahli Parlimen pembangkang juga mempunyai kuasa khususnya dalam mengkritik kerajaan.

Justeru itu adalah perlu bagi mereka melakukan pengisytiharan harta sebagaimana yang dilakukan barisan menteri dan timbalan menteri Kabinet. – MalaysiaGazette