Antoine Griezmann

LONDON – Penyerang Atletico Madrid, Antoine Griezmann telah mengumumkan akan meninggalkan kelab tersebut selepas tamat saingan musim ini.

Menurut laporan BBC, Griezmann akan kekal di La Liga dan akan menyerrtai Barcelona.

Gergasi Catalan itu dilaporkan bersetuju untuk menebus klausa yang terdapat di dalam kontrak pemain tersebut kepada Atletico bernilai €120 juta.

“Ia adalah lima tahun yang hebat [bersama Atletico Madrid]. Terima kasih untuk segala-galanya,” ujar Griezemann di laman Twitternya.

Pemenang Piala Dunia 2018 itu menandatangani kontrak baharu selama lima tahun pada Jun lalu.

Namun ia tidak menghalang penyerang Perancis itu untuk mencari haluan baharu selepas menyertai Atletico dari Real Sociedad pada 2014.

Pengumuman tersebut juga bermakna perlawanan La Liga pada Sabtu ini menentang Levante menjadi perlawanan terakhir buat pemain berusia 28 itu bersama Atletico.

Griezmann telah menjaringkan 133 gol dari 256 penampilan sejak menyertai Atletico dalam semua pertandingan sejak lima tahun yang lalu.

Sepanjang tempoh itu, dia telah membantu kelab tersebut menjuarai UEFA Europa League, Piala Super Sepanyol, dan juga UEFA Super Cup. – MalaysiaGazette