KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini menyerahkan zakat berjumlah RM3, 446,420.49 bagi tahun kewangan berakhir 2018 kepada Zakat Pulau Pinang.

Zakat itu diterima oleh Yang Dipertua Pulau Pinang, Tun Dr Abdul Rahman Haji Abbas.

Bayaran zakat bagi negeri Pulau Pinang ini mencatatkan peningkatan sebanyak 24.9 peratus berbanding tahun 2017 (RM 2,759,734.60).

“Setiap tahun, TH melaksanakan bayaran zakat yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sebagai sebuah organisasi Islam dengan sasaran untuk memperkasakan kewangan Islam dan pembangunan sosio-ekonomi ummah terutama
bagi golongan asnaf,” kata Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman, Pengurus Besar Kanan (Haji).

Jumlah keseluruhan bayaran Zakat TH 2018 terus mencatatkan peningkatan sebanyak 26.6% (RM85.57 juta) berbanding tahun 2017 (RM67.61 juta).

Pada tahun ini, TH memperkasakan lagi tanggungjawabnya dengan pelaksanaan Program Zakat yang disasarkan kepada golongan yang memerlukan melalui penganjuran program berbentuk pendidikan, keusahawanan, kebajikan dan kemasyarakatan.

Inisiatif tersebut diharap memberi impak positif berganda kepada golongan asnaf, katanya. – MalaysiaGazette