KUALA LUMPUR – Trafik penumpang udara Malaysia dijangka meningkat antara 2.9 peratus dan 4.1 peratus pada tahun ini kepada antara 105.5 juta dan 106.7 juta penumpang berbanding 2018, menurut Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM).

Dalam Laporan Industri dwi-tahunannya yang dikeluarkan di sini pada Selasa, suruhanjaya itu berkata ia menjangka ketidaktentuan yang lebih besar berikutan pertumbuhan ekonomi global dan tempatan diunjurkan perlahan.

Syarikat penerbangan tempatan turut dijangka menetapkan harga tambang secara kompetitif untuk mengimbangi pertumbuhan permintaan yang rendah.

“Pada 2019, kami menjangka menyaksikan tekanan penurunan ke atas hasil dan tekanan penurunan yang sama ke atas perolehan bagi syarikat penerbangan Malaysia berikutan pertumbuhan kapasiti tempat duduk dijangka mengatasi pertumbuhan trafik penumpang.

“Harga bahan api jet pada 2019 dijangka, pada purata, lebih rendah daripada tahun lepas yang boleh memberi kelegaan kepada mana-mana tekanan kewangan yang dihadapi oleh syarikat penerbangan,” kata Pengerusi Eksekutif Dr. Nungsari Ahmad Radhi.

Laporan edisi keempat MAVCOM, iaitu Waypoint, memberikan gambaran mengenai sektor penerbangan termasuk analisis berhubung struktur dan prestasi industri.

Pada 2018, Malaysia mencatatkan 102.5 juta penumpang antarabangsa dan domestik.

Purata perolehan tempat duduk kilometer tersedia tinggi sedikit kepada 16.3 sen berikutan purata tambang antarabangsa merosot 2.4 peratus kepada RM486, manakala purata tambang domestik kekal tidak berubah pada RM221.

“Suruhanjaya memantau kapasiti pertumbuhan permintaan domestik berikutan peningkatan dijangka dalam kapasiti tempat duduk susulan ia akan memberi kesan yang ketara kepada kedudukan kewangan syarikat penerbangan Malaysia.

“Pertumbuhan trafik antarabangsa bergantung kepada banyak faktor lain tetapi kami mahu melihat jumlah yang lebih baik bagi trafik ASEAN,” kata Nungsari. – MalaysiaGazette

Tinggalkan Jawapan