Man City tidak pernah melepasi pusingan suku akhir dalam aksi Liga Juara Juara Eropah setakat ini.

PARIS – Ketua Penyiasat Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA), Yves Leterme akan mencadangkan penggantungan Manchester City daripada beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Semalam pasukan penyiasat UEFA mahu juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini digantung jika didapati bersalah melanggar peraturan Keadilan Kewangan Bersih (FFP).

Bekas Perdana Menteri Belgium yang kini mengetuai pasukan penyiasat Panel Lembaga Bebas Kawalselia Kewangan itu dijangkakan membuat cadangan tersebut minggu ini.

Memandangkan tidak ada sebarang undi dalam kes ini, kata putus akhir terserah kepada beliau namun beberapa rakan penyiasat difahamkan tegas berpendirian mereka dalam satu pertemuan terbaharu.

Mereka berpendapat penggantungan sepanjang musim sesuai jika City didapati bersalah.

Leterme dan pasukannya dikatakan sedang meneliti bukti yang didedahkan akhbar Jerman pada tahun lalu berkaitan perlanggaran FFP oleh City.

Laporan itu mendakwa City melanggar FFP dengan menaikkan nilai perjanjian penajaan bernilai jutaan pound.

City pernah didenda 49 juta pound untuk satu kesalahan sama pada 2014.

Juara EPL berkenaan menafikan terlibat sebarang salah laku FFP, bagaimanapun UEFA enggan mengulas lanjut mengenai siasatan itu.

Namun pasukan penyiasat bertegas mahu penggantungan itu dilaksanakan ke atas City.

Jabatan Badan UEFA perlu membuat keputusan sama ada bersetuju dengan mana mana cadangan daripada Leterme dalam masa 48 jam lagi.

Penggantungan itu dilihat seperti tidak digunapakai untuk kempen Liga Juara-Juara Eropah akan datang memandangkan City mempunyai ruang dan masa untuk merayu dan merujuk kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Bagaimanapun ia masih dianggap satu tamparan hebat kepada sebuah kelab dibiayai negara Timur Tengah yang begitu terdesak untuk merangkul kejuaraan pertama di pentas Eropah.

City juga berkemungkinan berhadapan dengan larangan membeli atau menjual pemain apabila Persatuan Bola Sepak England (FA), EPL dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) turut menyiasat isu pembelian pemain remaja oleh pasukan itu.

City dalam satu kenyataan rasmi menyatakan kesediaan memberi kerjasama kepada Jabatan Penyiasatan Badan Kawalan Kewangan Kelab (CFCBIC) terhadap siasatan yang dijalankan tanpa mengulas lanjut.

Kelab berkenaan juga berpendapat terdapat individu yang menyalahtafsir siasatan itu dengan niat untuk merosakkan reputasi kelab dan kepentingan komersial atau kedua duanya.

“Penyata akaun kewangan Man City yang disiarkan umum lengkap dan penuh dalam aspek perundangan.

“Dakwaan penyelewengan kewangan adalah tidak benar sama sekali dan bukti fakta ke atas segala dakwaan itu telah dikemukakan kepada rujukan CFCBIC,” dakwa kelab itu. – MalaysiaGazette